Ramai dijangkiti Covid-19 jika pilihan raya awal, kata Dr Mahathir


shadow

PILIHAN raya umum (PRU) tidak perlu diadakan dalam waktu terdekat kerana wabak Covid-19 dalam negara belum pulih, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu bimbang kos pilihan raya akan meningkat dan ramai rakyat akan dijangkiti wabak itu.

“Seboleh-bolehnya (pilihan raya) diadakan dalam keadaan biasa. PRU bagi kuasa kepada rakyat tentukan kerajaan tetapi waktu ini negara hadapi masalah Covid 19.

“Masalah itu akan menyebabkan kos mengadakan PRU tinggi dan dedahkan rakyat kepada berkembangnya penyakit Covid-19.

“Saya yakin kalau PRU diadakan ramai yang dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia akibat ini. Soalnya sekarang sama ada kita nak utamakan politik atau nyawa rakyat,” katanya.

Beliau ditanya pemberita mengenai kemungkinan pilihan raya awal dijalankan susulan dakwaan bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim menguasai majoriti untuk mengambil alih kerajaan.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat kawasannya di Langkawi.

Tinggalkan komen anda