Restoran, kedai serbaneka di Selangor dibenar beroperasi hingga 2 pagi


shadow

Kerajaan Selangor membenarkan semua restoran dan kedai serbaneka di negeri itu beroperasi hingga 2 pagi, seiring keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penularan kes Covid-19 di Selangor terkawal sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kini, tiba masanya untuk menangani dan memulihkan ekonomi. Namun, pencegahan penularan pandemik Covid-19 masih merupakan keutamaan kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, para pengunjung dan pengusaha diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan MKN dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kedai makan, restoran, dan kedai serbaneka 24 jam dibenarkan beroperasi hingga 2 pagi.

– Bernama

Tinggalkan komen anda