Rosmah upah 40 tentera siber, kata bekas pembantu


shadow

ROSMAH Mansor mempunyai kira-kira 40 tentera siber untuk menyebar propaganda politik di media sosial, kata saksi pada perbicaraan rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, yang juga saksi utama pendakwaan, mendedahkan blogger Papagomo turut berada dalam pasukan tentera siber itu.

Pasukan itu ditugaskan untuk memantau kandungan kritikal atau persepsi negatif terhadap Rosmah di media sosial, kata Rizal.

“Ada tiga atau empat ketua dalam pasukan dan mereka ini termasuklah Papagomo, Parpukari, Unspinners. Ketua pasukan ini dibayar RM5,000 sebulan. Saya boleh berikan senarai lengkap nanti.

“Selain mereka, ada kira-kira 12 hingga 15 blogger dan kira-kira 30 Facebooker,” katanya ketika disoal balas peguam bela utama Jagjit Singh.

Tambahnya, mereka yang ditugaskan untuk menyebar propaganda di Facebook dibayar antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap bulan, manakala blogger pula dibayar RM3,000 sebulan.

Kata Rizal lagi, memang menjadi kebiasaan bagi ahli politik atau parti politik menggunakan tentera siber untuk mempromosi atau menyebarkan propaganda mereka dalam talian.

Rizal dilantik sebagai pegawai media Rosmah pada 2009 di bawah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM).

Bahagian FLOM  ditubuhkan khusus untuk menguruskan aktiviti harian rasmi dan tidak rasmi Rosmah.

Rizal berkhidmat dalam Bahagian FLOM sehingga Mei 2018.

Semasa memberi keterangan minggu lepas, saksi ke-12 pendakwaan itu berkata pada 2012 Rosmah mengarahkannya menubuhkan satu pasukan tentera siber untuk memantau kandungan media sosial yang kritikal atau memberi persepsi negatif terhadapnya, dengan bayaran upah RM100,000 setiap bulan.

Rosmah katanya sangat mementingkan imej, reputasi dan persepsi orang ramai terhadap statusnya sebagai isteri perdana menteri.

Pada perbicaraan hari ini, Rizal berkata Rosmah membiayai pasukan tentera siber dari 2012 sehingga 2018.

Jagjit bagaimanapun menegaskan bahawa saksi wang tersebut bukan dari Rosmah, tetapi dari Pejabat Perdana Menteri untuk kegunaan FLOM.

Rizal menjawab dengan berkata beliau tidak dapat mengesahkan sumber wang berkenaan, menambah beliau mengambil wang tunai dari Rosmah setiap bulan untuk membayar tentera siber.

Jagjit: Wang datang dari PMO (Pejabat Perdana Menteri), bukan dari Rosmah sendiri. Datang dari pejabat FLOM?

Rizal: Saya tak boleh sahkan sumber tetapi saya terima dari beliau sendiri.

Jagjit: (Wang) dari akaun peribadinya?

Rizal: Saya tak boleh sahkan.

Apabila ditanya jika mempunyai resit bagi bayaran bulanan tersebut, Rizal berkata tidak.

Jagjit kemudian menuduh Rizal mengambil sedikit daripada peruntukan bulanan itu, dan atas sebab itulah saksi itu tidak dapat memberi sebarang resit.

Tinggalkan komen anda