SPRM siasat kes pencemaran sungai di Rawang


shadow

AGENSI anti rasuah membuka siasatan kemungkinan wujud jenayah rasuah dalam insiden pencemaran Sungai Gong, Rawang, Selangor, menyebabkan bekalan air di Lembah Klang terjejas minggu lalu.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata agensi itu sedang meneliti sekiranya ada unsur-unsur rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasa.

“SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu berkenaan untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini. 

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh daerah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas untuk membersihkan kesan pencemaran.

Tujuh daerah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Setakat 6.30 pagi tadi, bekalan air di 1,156 kawasan atau 89.47% dari 1,292 kawasan terlibat gangguan bekalan air telah pulih di tujuh daerah tersebut.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 136 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, bekalan air di Petaling mencatatkan peratusan pemulihan sebanyak 95.72%; Gombak (94.89%); Kuala Lumpur (85.02%); Klang/Shah Alam (59.32%) manakala Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor masing-masing mencatatkan peratusan pemulihan sepenuhnya (100%).

Gangguan bekalan air sekitar Lembah Klang bermula 3 Sept lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Tinggalkan komen anda