Bekas pengumpul dana Trump mengaku bersalah lobi gugurkan siasatan 1MDB


shadow

Seorang bekas pengumpul dana untuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengaku bersalah atas tuduhan melobi Trump secara tidak sah bagi menggugurkan siasatan ke atas skandal 1MDB.

Dalam perbicaraan di depan Hakim Persekutuan Washington DC, Colleen Kollar-Kotelly, Elliott Broidy yang memegang jawatan berkaitan kewangan dalam kempen Trump pada 2016, mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing (Fara).

Pendakwa raya mendakwa Broidy menerima bayaran berjuta dolar dari seorang warga asing yang tidak disebutkan namanya untuk mengatur siasatan AS ke atas penyelewengan berbilion dolar 1MDB ditamatkan.

Akta Pendaftaran Ejen Asing mengkehendaki individu yang melobi kerajaan AS untuk entiti asing berdaftar dengan Jabatan Kehakiman, tetapi Broidy mengakui dia tidak berbuat demikian.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan bersetuju AS$6.6 juta dirampas.

Dokumen yang dilihat Reuters menunjukkan Broidy turut terlibat dalam cubaan membantu ekstradisi jutawan Guo Wengui, namun gagal.

Guo Wengui terbabit dalam aktiviti politik anti-China berpangkalan di AS dengan bekas penasihat Trump di Rumah Putih, Steve Bannon.

Bannon kini berdepan pertuduhan berasingan atas dakwaan dia dan 3 individu lain menipu penderma dalam kempen membina tembok di sempadan AS dan Mexico.

Hakim tidak segera menjatuhkan hukuman ke atas Broidy dan menetapkan pendengaran pada Februari tahun depan.

Katanya, dengan kelulusan mahkamah, Broidy boleh melakukan perjalanan dalam AS dengan kebenaran pegawai perkhidmatan pra-perbicaraan.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan AS$4.5 bilion dicuri dari 1MDB dan didakwa membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, eksekutif di bank AS, Goldman Sachs serta lain-lain.

– Reuters

Tinggalkan komen anda