Belanjawan 2021: Tak praktikal runding pembangkang dulu


shadow

Gesaan supaya Belanjawan 2021 dirundingkan terlebih dahulu dengan pembangkang sebelum dibentangkan, disifatkan tidak wajar dan praktikal mengambil kira kekangan masa semakin suntuk.

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Teknologi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Dr Ismail Sualman, berkata Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang memiliki tempoh panjang untuk meneliti dan memberi cadangan bagi menambah baik dokumen Belanjawan ketika sesi perbahasan.

“Gesaan oleh pembangkang supaya mereka terbabit dalam libat urus Belanjawan 2021 adalah satu niat baik sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong tetapi agak terlewat kerana hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan 6 November ini.

“Jadi, cara terbaik untuk mereka melontarkan cadangan dan memberi maklum balas adalah ketika sesi perbahasan berlangsung. Saya yakin kerajaan sudah semestinya akan mendengar dan meneliti cadangan yang diberikan setiap Ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam menggesa supaya Belanjawan 2021 perlu dirunding dengan pembangkang, sebelum dibentang di Parlimen bagi mendapatkan sokongan padu semua pihak selari titah Yang di-Pertuan Agong.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, turut berkongsi pandangan sama dan mencadangkan supaya pembangkang menyerahkan cadangan mereka terus kepada Kementerian Kewangan.

Katanya, kesudian pembangkang menyatakan hasrat mereka, mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong supaya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen.

“Jika diikutkan, memang masa semakin suntuk dan sukar jika pembangkang mahukan rundingan terlebih dahulu. Saya cadangkan supaya pembangkang menghantar cadangan mereka terus kepada kerajaan untuk diambil maklum. Itu lebih mudah ketika ini,” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, semua pihak perlu bertolak ansur memandangkan kerajaan dalam peringkat akhir menyediakan Belanjawan 2021 dan sukar melaksanakan perubahan pada saat akhir dalam aspek dasar.

“Kesediaan pembangkang untuk diajak berunding berkaitan belanjawan perlu dilihat dari sudut positif sebagai tanda untuk bekerjasama memastikan belanjawan dicadangkan dalam Dewan Rakyat nanti dapat melepasi kelulusan sekali gus tidak timbul implikasi negatif berhubung perbelanjaan yang akan digunakan negara.

“Bagaimanapun sewaktu pembentangan nanti, semua pihak akan mempunyai akses kepada belanjawan yang akan dibentangkan dan dari situ, parti pembangkang atau Ahli Parlimen lain boleh meneliti dan membuat cadangan balas atau kritikan membina bagi menambah baik belanjawan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan wajar mengambil sikap proaktif dengan berusaha supaya maklumat pembentangan belanjawan itu dapat diberikan lebih awal dan semakan dapat dilakukan sebagai persediaan perbahasan.

“Teks pembentangan belanjawan juga perlu berunsurkan kesepakatan dan elakkan perkataan yang boleh membimbulkan permusuhan antara satu sama lain,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda