Cemar Sungai Gong, pengarah syarikat antara 8 direman


shadow

Lapan suspek, termasuk pengarah sebuah syarikat, direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Selayang bagi membantu siasatan kes pencemaran air Sungai Gong, Rawang.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata semua suspek direman bermula hari ini sehingga 28 Oktober.

“Suspek diwakili dua peguam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dua pengarah syarikat yang juga anak beranak dibawa bersama enam pekerja terdiri dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar ke Mahkamah Selayang untuk permohonan reman.

Fadzil dalam kenyataannya memaklumkan, polis menahan seorang lelaki berusia 62 tahun dan anak lelakinya berusia 31 tahun.

“Polis turut menahan enam pekerja, iaitu dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

“Semua suspek ditahan di Rawang pada jam 11.30 pagi, tadi (semalam),” katanya.

Fadzil berkata, tangkapan itu dibuat susulan insiden pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) jam 12.38 pagi pada 19 Oktober lalu.

“Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Susulan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Tinjauan keadaan Sungai Gong, Rawang yang terlibat dalam pencemaran bau mengakibatkan rawatan loji Air Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan semalam. - Foto Asyraf Hamzah
Tinjauan keadaan Sungai Gong, Rawang yang terlibat dalam pencemaran bau mengakibatkan rawatan loji Air Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan semalam. – Foto Asyraf Hamzah

“Pada jam 2 pagi, beberapa LRA yang lain turut terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

“Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan,” katanya.

Pencemaran air Sungai Gong Isnin lalu itu menyebabkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan terjejas di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.-BH

Tinggalkan komen anda