‘Darurat’: Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara


shadow

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tiba di Istana Negara menjelang pertemuan bersama Raja-Raja Melayu bagi membincangkan cadangan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, antaranya termasuk pengisytiharan darurat.

Dilaporkan pertemuan akan bermula pada jam 2.30 petang ini.

Sidang Raja-Raja Melayu itu berlangsung ketika cakap-cakap darurat mungkin dilaksanakan bagi menangani wabak Covid-19.

Ini selepas Muhyiddin mengadap Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan pada Jumaat lalu.

Sementara itu, halaman rasmi Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunjukkan gambar-gambar baginda berangkat untuk menghadiri mesyuarat Raja-Raja Melayu ini.

Kenderaan rasmi Sultan Johor dilihat masuk ke Istana Negara pada pukul 1.30 tengah hari.

Kenderaan membawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula tiba di Istana Negara pada jam 2.15 petang.

Sementara itu, Bernama melaporkan suasana di Pintu Utama Istana Negara tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pagi tadi.

Pengamal media tempatan dan antarabangsa telah berkumpul di sekitar kawasan ini sejak 11 pagi tadi.

Bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan fizikal petugas media ketika membuat liputan, polis juga memasang pemisah dan kon sebagai langkah keselamatan.

Petugas media yang hadir wajib mengimbas kod QR MySejahtera dan mengambil suhu badan serta diberikan pelekat khas.

Polis turut mengadakan kawalan keselamatan di laluan utama menghala ke Pintu Utama Istana Negara hari ini.

Dua pilihan

Sebelum ini, Istana Negara mengesahkan pertemuan Raja-Raja Melayu itu.

“Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut,” maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin semalam.

Malaysiakini  telah menghubungi beberapa pakar perlembagaan dan undang-undang semalam yang mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai sekurang-kurangnya dua pilihan untuk diputuskan.

Dua pilihan tersebut adalah Agong boleh menerima cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, atau menasihati kabinet untuk membuat pilihan lain.

Bagaimanapun, pakar bercanggah pandangan mengenai sejauh mana kuasa yang ada pada Seri Paduka dalam memutuskan untuk mengisytiharkan darurat atau tidak.

Pandangan yang paling popular, adalah Seri Paduka harus mengikut nasihat kerajaan.

Masih belum jelas ruang lingkup atau bentuk pengisytiharan “darurat” oleh kerajaan itu. Dilaporkan ia bagi memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi yang kuat mengatakan pengisytiharan darurat sebagai langkah politik untuk mengelakkan undian RUU Belanjawan 2021 kerajaan dikalahkan di Dewan Rakyat pada bulan depan.

Kerajaan Perikatan Nasional kini memiliki majoriti dua kerusi yang tipis – yang berhadapan ancaman percaturan politik oleh Umno dan PKR.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa ramai ahli parlimen partinya menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Secara berasingan, Ahli Parlimen Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.-Mkini

Tinggalkan komen anda