Dr M: Darurat hanya memberikan kuasa tambahan kepada Muhyiddin


shadow

Darurat tidak akan dapat menghentikan penularan wabak Covid-19 lebih baik daripada apa yang ada sekarang, sebaliknya hanya memberikan kuasa tambahan kepada perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mahathir lagi apa yang dilakukan Muhyiddin Yassin selama ini gagal mengurangkan masalah politik, ekonomi dan sosial walaupun presiden Bersatu itu mempunyai ramai anggota kabinet.

“Dia mempunyai kabinet besar yang tidak menyumbang apa-apa untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” kata Mahathir dalam satu hantaran terbaru di blognya.

“Apa yang darurat boleh lakukan untuk menghentikan wabak lebih daripada apa yang kita buat sekarang? Tak ada apa-apa,” tambahnya.

Semalam Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah keputusan kerajaan yang dilaporkan bersetuju agar darurat diisytiharkan.

Sesetengah anggota kabinet mempertahankan langkah itu sebagai cara untuk mengelakkan berlaku pilihan raya yang kemudian terdedah kepada penularan lebih besar Covid-19.

Bagaimanapun pemerhati dan pembangkang melihat langkah itu adalah cara Muhyiddin dan Bersatu menyelamatkan diri daripada disingkirkan daripada kerajaan.

Sementara itu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pula akan mengadakan perbincangan dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Muhyiddin semalam. 

Bukan pilihan rakyat

Menurut Mahathir sebelum ini pun Covid-19 dijadikan alasan oleh kerajaan untuk menangguhkan sidang parlimen, memendekkan sidang dan mengelak daripada perbahasan.

“Sekarang ia dijadikan alasan untuk mengisytiharkan darurat. Tetapi kuasa kerajaan hari ini memadai untuk menangani wabak tersebut.

“Kita bukannya berdepan dengan bantahan rakyat (kepada perintah kawalan pergerakan) seperti apa yang kita lihat di AS dan Eropah.

“Rakyat kita secara umumnya sentiasa mematuhi semua larangan seperti PKP,” katanya.

Menurut Mahathir lagi, kerajaan yang ada sekarang bukan dipilih rakyat dan berkuasa tanpa melalui jalan demokrasi.

Pun begitu, katanya, keutamaan mereka sekarang hanyalah untuk kekal berkuasa.

“Berdepan dengan kemungkinan digulingkan, perdana menteri mahukan kuasa di bawah perintah darurat.

“Satu-satunya keuntungan akan memihak kepada perdana menteri, kerana parlimen akan lumpuh. Dia akan mendakwa bahawa itu adalah kehendak istana,” katanya.

Tinggalkan komen anda