‘Jangan heret negara ke kancah politik tidak menentu’


shadow

 Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah, hari ini menitahkan semua Ahli Parlimen, supaya tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu dalam suasana wabak COVID-19 menyulitkan hidup rakyat ketika ini.

Titah baginda, ahli politik negara ini perlu menyelesaikan permasalahan di antara mereka, menerusi perundingan dan proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.https://tpc.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Baginda bertitah, ahli-ahli politik tidak seharusnya mengakhiri perbezaan pendapat di antara mereka dengan permusuhan.

Dalam titah kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat baginda ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu.

“Berhubung perkembangan terkini situasi politik negara, Seri Paduka menasihati rakyat, khususnya ahli-ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat baginda kepada Ahli Parlimen, ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu, untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda