Keputusan Peguam Negara guna budi bicara dalam kes Khairuddin tepat


shadow

Seorang peguam mempertahankan keputusan Peguam Negara Idrus Harun untuk tidak mendakwa Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan berkata, beliau membuat keputusan tersebut berdasarkan undang-undang dan keterangan.

N Sivananthan berkata, pihak pendakwa mesti membuktikan kandungan pendakwaan atau tertuduh akan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri.

“Pihak pendakwaan bertanggungjawab memastikan ia mempunyai kes prima facie atau ia hanya akan membuat masa dan sumber.

“Kes ini menarik perhatian umum tetapi peguam negara akan gagal di mahkamah berdasarkan undang-undang dan keterangan,” Sivananthan memberitahu FMT dengan menambah bahawa Idrus tidak boleh dipengaruhi oleh sentimen umum.

Semalam, Idrus berkata, Khairuddin tidak diberikan perintah pemantauan di rumah oleh pegawai Kementerian Kesihatan di lapangan terbang setibanya dari Turki pada 7 Julai.

“Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah suatu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, maka perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu seperti dikehendaki di bawah subseksyen 15(1) akta itu,” kata Idrus.

Peguam Baljit Sidhu bagaimanapun berkata, keputusan tidak mendakwa Khairuddin kerana beliau tidak diberikan perintah kuarantin hanyalah isu prosedur, bukannya substantif.

“Semua orang tahu bahawa seseorang perlu dikuarantin selama 2 minggu apabila tiba dari luar negara,” katanya, selain menambah bahawa Khairuddin sudah tentu maklum mengenai prosedur tersebut.

Beberapa peguam lain yang ditemui oleh FMT mempersoalkan kaedah penguatkuasaan undang-undang yang berbeza antara individu berlainan.

Mereka berkata, undang-undang kecil yang digubal berdasarkan Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jelas menyebut bahawa mana-mana orang yang memasuki negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari.

Di bawah Peraturan 8(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, individu yang dikenakan perintah kuarantin di rumah hendaklah memakai gelang tangan seperti dikehendaki oleh pegawai yang diberi kuasa.

“Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama meliputi semua orang. Tidak adil sekiranya menteri dikecualikan daripada perintah pengawasan di rumah, sedangkan orang lain tidak,” kata peguam Rafique Rashid Ali.

Beliau berkata, isu ini mendedahkan “masalah” berkaitan kes kuarantin yang kini banyak dikendalikan oleh mahkamah.

“Menurut logik peguam negara, individu ini tidak boleh didakwa jika mereka tidak menerima borang kuarantin di rumah (Borang 14b),” katanya.

Fahmi Abd Moin bersetuju dengan berkata, mereka yang disabitkan kesalahan sebelum ini boleh mempersoalkan kes masing-masing.

“Mereka mungkin mahu semakan dibuat. Kita tidak tahu sama ada mereka diberikan Borang 14b sebaik tiba, tetapi masih berdepan pendakwaan kerana keluar rumah dalam tempoh kuarantin,” katanya.

Beliau mengambil maklum bahawa keputusan meletakkan kes Khairuddin dalam kategori “tiada tindakan lanjut” (NFA) dibuat selepas kertas siasatan dikemukakan beberapa kali dalam tempoh 3 bulan.

“Kenyataan peguam negara bahawa Khairuddin tidak diberikan borang itu, justeru tidak melanggar perintah kuarantin sangat mengecewakan.

“Sebagai pegawai awam, menteri sendiri tidak boleh berkata beliau tidak tahu undang-undang,” katanya.-FMT

Tinggalkan komen anda