Kluster One Utama: 63 kes positif


shadow

Kompleks beli-belah One Utama telah ditutup untuk 14 hari bermula 11hb Oktober 2020 lanjutan daripada terdapat empat kes positif Covid-19, tiga melibatkan pekerja dan satu kes pengunjung.

Bagaimanapun, Pegawai Daerah Petaling Johary Anuar memaklumkan setakat jam 12.00 tengah hari ini, terdapat 63 kes positif Covid-19 melibatkan “Kluster Kompleks Beli Belah One Utama.”

“Yang mana 59 kes daripadanya melibatkan kes di daerah Petaling dan baki empat kes adalah di luar daerah Petaling,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Johary yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah, sejumlah 6,000 orang pekerja kompleks telah disaring oleh pengurusan Kompleks Beli Belah One Utama dan sehingga kini dilaporkan 16 orang pekerja telah disahkan positif covid-19.

“Saringan juga telah dijalankan dikalangan pekerja keselamatan dan didapati 44 orang pekerja keselamatan disahkan positif jangkitan covid-19.

“Saringan pengunjung ke kompleks One Utama telah bermula pada 14hb Oktober 2020, dan seramai 110 orang pengunjung telah disaring,” katanya.

Oleh yang demikian, jelas Johary pengurusan Kompleks Beli Belah One Utama diminta meneruskan saringan ke atas semua pekerja.

“Pekerja yang positif akan dirawat di hospital, dan kontak kepada pekerja positif perlu dikuarantin selama 14 hari dan menjalani saringan susulan sebelum diberi pelepasan.

“Pihak pengurusan kompleks juga perlu memastikan syarikat keselamatan melantik pekerja keselamatan yang baru. Pekerja keselamatan yang dilantik juga bukan terdiri daripada kontak rapat kepada kes-kes positif pekerja keselamatan.

“Semua pekerja keselamatan yang baru perlu menjalani ujian saringan covid-19 sebelum mula bekerja,” katanya lagi.

Pecahan kes menurut jawatankuasa bencana daerah adalah seperti berikut:

  1. Pekerja Pengurusan Kompleks : Satu kes.
  2. Pekerja kompleks : 15 kes (12 kes daerah Petaling dan tiga kes luar daerah).
  3. Pekerja keselamatan : 44 kes.
  4. Pengunjung : Tiga kes (dua kes daerah Petaling dan satu kes luar daerah).

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan berkata terdapat lima kes baru dalam 24 jam hingga tengah hari hari ini menjadikan 27 kes keseluruhan bagi “Kluster Utama”. Punca perbezaan ini tidak jelas.

Malaysiakini telah meminta penjelasan dari Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu.Pekerja Tesco Extra Mutiara Damansara diuji positif

Mengenai Kluster Bah Tropicana yang melibatkan Tropicana Golf & Country Resort pula, Johary berkata terdapat 25 kes setakat ini.

Ini merangkumi tujuh kes awal yang kembali dari Semporna, Sabah dan 18 dari kontak rapat mereka.

Dalam perkembangan berasingan, Tesco Extra Mutiara Damansara yang berdekatan berkata pekerja pelatih yang bekerja di pasar raya besar telah diuji positif Covid-19.

Oleh itu, Tesco berkata akan membersihkan dan membasmi kuman pasar raya besar itu semalaman dan akan dibuka semula pada pukul 10 pagi esok.

Pemberitahuan itu disiar di laman Facebook Tesco pada jam 8 malam tadi, tetapi seorang pelanggan memberitahu Malaysiakini bahawa kedai itu terus beroperasi selepas notis itu diposkan.

Ketika dihubungi, kakitangan perkhidmatan pelanggan Tesco mengesahkan pasar raya itu terus beroperasi sehingga pukul 10 malam ini.

Bagaimanapun, pelanggan itu mengadu bahawa dia secara tidak sengaja terus membeli-belah di pasar raya besar itu dan hanya diberitahu oleh seorang rakan selepas itu mengenai kes Covid-19 dikesan di sana.-Mkini

Tinggalkan komen anda