Latihan di padang, pusat futsal, gimnasium dibenarkan di kawasan PKPB


shadow

 Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan di gimnasium, latihan di padang bola komersial dan pusat futsal di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibenarkan mulai Isnin ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tidak membabitkan pertandingan di padang bola dan pusat futsal serta rakyat perlu mematuhi SOP ketat.

“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka (kerajaan) bersetuju membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang ditetapkan sebelum ini.

“Aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal turut dibenarkan, tetapi hanya bagi tujuan latihan saja dan terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media hari ini yang disiarkan di Facebook.

Beliau berkata, SOP terperinci akan diumumkan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ismail berkata, 467 individu ditahan kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Daripada jumlah itu, 460 orang dikompaun, 6 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah tidak memakai pelitup muka (182), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (110), penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (5) dan lain-lain (64).”

Tinggalkan komen anda