Noor Hisham: Elak tuding jari, pikul bersama tanggungjawab sosial


shadow

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa rakyat Malaysia tidak menyalahkan mana-mana pihak berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, usaha memutuskan rantaian penularan wabak itu adalah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama.

Menurutnya, kesemua Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah telah diberi peringatan berkenaan sebarang kemungkinan kenaikan kes mendadak dan melipat ganda usaha mengesan menguji, mengasingkan dan kemudian merawat kes Covid-19.

“Namun begitu, KKM dan agensi-agensi pihak berwajib tidak mampu melawan Covid-19 sendirian. Malahan, tanggungjawab lebih besar adalah terletak pada bahu setiap individu dalam masyarakat, tidak kira pangkat, latar belakang dan status.

Elakkan daripada salah menyalahi antara satu sama lain. Kita telah harunginya bersama sebelum ini dengan menjaga diri kita, keluarga kita, komuniti kita dan negara kita,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

KKM dan ahli politik dihujani kritikan mutakhir ini susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara yang antaranya disebabkan oleh kalangan yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Sejak 20 September, 136 kes Covid-19 dikaitkan dengan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke sana.

Langkah melakukan ujian saringan di lapangan terbang terhadap penumpang dari negeri itu yang bermula 27 September lalu pula disifatkan sebagai sudah terlambat.

Sabah jadi pengajaran

Dalam pada itu, Noor Hisham meminta semua pihak agar terus berjaga-jaga bagi mengelakkan bilangan kes terus meningkat, dengan menjadikan apa yang berlaku di Sabah sebagai contoh.

“Putuskan rantaian jangkitan dan kita boleh menang dalam ‘peperangan’ ini, menang atau kalah sekarang terletak di tangan kita. Setiap orang di Malaysia perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Sebaik sahaja kita alpa, virus akan tersebar. Contoh terbaik (adalah) di Sabah, apabila kita abaikan (SOP), ini yang terjadi.

“Jadi saya berharap kita semua ambil pengajaran supaya kita tidak mengulanginya lagi,” katanya lagi.

Menurut Noor Hisham, punca peningkatan kes Covid-19 – kini dengan 1,540 kes aktif, kira-kira 10 kali ganda berbanding sebulan lalu – adalah kerana tidak patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, penjagaan jarak fizikal dan kebersihan.

“Kita bukan menyalahkan (tetapi) mengingatkan…Jika anda perlu keluar dari rumah, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal,” katanya.

Dia juga menyuarakan harapan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di empat daerah di Sabah serta larangan perjalanan rentas negeri di sana akan menurunkan jumlah kes di negeri itu.

Mereka yang kembali dari Sabah dan didapati negatif ketika ujian saringan juga disarankan menjalani kuarantin 14 hari di rumah, katanya lagi.

Pada masa ini, mereka yang kembali dari Sabah perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dengan memakai gelang merah jambu sehinggalah keputusan ujian saringan diperolehi.

Bagaimanapun ada beberapa kes apabila mereka yang didapati negatif akhirnya dijangkiti wabak itu.

Menurut Noor Hisham, peningkatan kes Covid-19 bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

“Tren peningkatan inilah yang KKM khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana ia sememangnya selari dengan tren peningkatan jumlah kes dan kematian Covid-19 yang dilihat di seluruh dunia.

“Kes Covid-19 di dalam dunia pada masa kini telah mencecah sekitar 34.2 juta kes dan jumlah kes harian menunjukkan kenaikan iaitu sekitar 309,000 kes berbanding sebelumnya kira-kira 302,000 kes,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda