Pause Malaysia: MUDA desak gencatan politik


shadow

Pengasas parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak semua pihak untuk berhenti daripada berebut kuasa sebaliknya kerajaan dan pembangkang harus duduk semeja dalam mencari penyelesaian bersama isu-isu negara.

Menggerakkan gerakan Pause Malaysia, Ahli Parlimen Muar itu menggesa supaya niat untuk mengadakan sebarang jenis pilihan raya ditangguhkan sehingga penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

Tegasnya, sekarang adalah masa untuk semua pihak bersatu hati dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

“Rakyat Malaysia sudah penat. Penat dengan perebutan kuasa, penat dengan politik dua darjat, penat dengan politik yang tidak bermaruah.

“Saya akui saya ahli politik tetapi saya sentiasa bermuhasabah kerana tanpa sokongan rakyat tidak mungkin saya berada di kedudukan seperti ini.

“Sebab itu bagi MUDA, kami mencadangkan dan mendesak bukan sahaja untuk kerajaan tetapi parti pembangkang juga supaya berhenti politik perebutan kuasa,” katanya dalam satu video ringkas hari ini.

Cadangan Pause Malaysia itu mendapat pelbagai reaksi warga net.

Bagi penyokong parti pembangkang, mereka menganggap Syed Saddiq cakap tak serupa bikin kerana beliau sendiri telah berkempen untuk Parti Warisan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Malah mereka juga merasakan gerakan Pause Malaysia itu adalah sesuatu yang tidak relevan kerana mendakwa Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang lebih berkaliber.

Ini susulan tanda pagar #MuhyiddinOut yang trending semalam.

“Pause Malaysia adalah tidak relevan. Kita mesti terus menentang kerajaan yang tidak cekap, tidak boleh dipercayai dan tidak berguna.

“Tolong jangan meletakkan justifikasi pada sesuatu yang tidak boleh diberi justifikasi.

“Anak muda kena berani mempertahankan prinsip dan pendirian,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir dalam satu ciapan di Twitter.

“Ini bukan masanya untuk berjeda. Bukan apabila pemimpin-pemimpin kerajaan menyebabkan gelombang ketiga, bukan ketika jemaah menteri melanggar kuarantin dan meletakkan nyawa pelajar serta orang lain dalam bahaya, bukan ketika Perdana Menteri enggan untuk bertindak terhadap kerajaan yang tidak cekap. Ini bukan masa untuk berjeda,” kata Jay Jay Dennis pula di Twitternya.

Namun begitu ramai juga yang memberi sokongan terhadap cadangan MUDA itu.

“Setuju. Beliau bercakap mengenai keadaan semasa. Selepas pandemik nanti, jika hendak PRU ke, hendak tukar PM ke, merusuh ke, terserahlah.

“Buat masa sekarang, marilah kita sama-sama berusaha untuk selamat dalam menghadapi pandemik ini,” kata @farahsaberi

“Pause Malaysia adalah untuk kita bermuhasabah dan membina semula negara ini, berjuang memerangi Covid-19.

“Ahli-ahli politik perlu fokus kepada kawasan masing-masing, kebajikan rakyat dan memastikan peruntukan kerajaan disalurkan kepada perniagaan, pematuhan SOP dan agihan pelitup muka. Ini masa untuk berkhidmat kepada rakyat!” kata @DrMathen.-MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda