Pelajar masih tunggu arahan jelas dari kementerian berhubung kelas dalam talian


shadow

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi sepatutnya bertindak dengan lebih profesional dalam mengeluarkan kenyataan jelas, kata pelajar susulan kontroversi penangguhan pendaftaran pelajar.

Pelajar terkandas di kampus selepas keputusan saat akhir dibuat untuk meneruskan kelas dan pendaftaran secara dalam talian susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Ribuan pelajar tidak tahu mengenai perkara itu kerana masih dalam perjalanan ke kampus masing-masing untuk memulakan semester baharu.

Kebanyakan pelajar yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak tahu mengenai perkara itu dan kini cuba mencari bantuan untuk bertahan di kampus sementara menunggu pihak kementerian mencari jalan penyelesaian.

Seorang pelajar jurusan undang-undang Universiti Malaya, Farhan Amran menjelaskan ini bukan kali pertama kementerian membuat kenyataan mengelirukan mengenai kebajikan pelajar.

“Ia pernah berlaku sebelum ini. Sebelum ini mengenai pelajar dibenarkan pulang atau tidak untuk Hari Raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang ini pula. Bolehkah mereka berikan arahan yang jelas sama ada boleh atau tidak ketika mengeluarkan kenyataan. Ini kerana kenyataan yang tidak jelas daripada kementerian, dan pihak universiti mengulangi kenyataan dengan tafsiran yang salah menyebabkan lebih banyak kekeliruan.

“Nasib baik kamu di UM, kami terima arahan jelas semua pelajar baharu boleh kekal di kampus. UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Isalam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah jelaskan kepada pelajar baharu,” kata pelajar tahun akhir itu.

Menurut Farhan, satu kempen gerakan pelajar dilancar semalam bagi membantu pelajar yang terkandas dan tidak dapat pulang selepas kementerian mencadangkan untuk menangguhkan kelas.

“Kami mampu membantu ramai pelajar dari universiti lain.. Kempen ini dibuat menerusi media sosial. Ia merupakan gerakan organik.”

“Seperti pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Mereka perlu meninggalkan kampus jadi kami bantu mereka dengan menyediakan penginapan atau bantuan kewangan untuk mereka kembali ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTAR Sungai Long, Koh Ling Xian berkata. kebanyakan pelajar perlu membayar deposit untuk menyewa rumah.

Koh berkata sekiranya semua kelas dijalankan secara dalam talian, pelajar akan hilang wang deposit mereka.

“Isu utama di sini adalah tiada garis panduan jelas daripada kementerian dan kini pihak pengurusan tidak tahu apa tindakan yang perlu diambil. Pelajar menjadi mangsa.

“Memandangkan UTAR tidak mempunyai asrama sendiri, pelajar biasanya akan menyewa di luar. Pada awalnya kementerian membenarkan kelas fizikal dijalankan dan UTAR telah membuat pengaturan berikutan pengumuman sebelumnya, beberapa pelajar yang memilih kelas fizikal sudah membayar sewa atau deposit mereka.

“Bagaimanapun pengumuman di saat akhir ini menimbulkan kekeliruan. Sekiranya kelas dalam talian dijalankan semula, kebanyakan pelajar memilih untuk pulang ke kampung dan deposit mereka akan hilang kerana mereka bimbang PKP akan dilaksanakan memandangkan kes semakin meningkat,” kata Koh.

Seorang pelajar yang enggan identitinya didedahkan berkata beliau terpaksa meminjam wang daripada rakannya untuk balik ke Kuantan.

“Saya tiada pilihan. Hanya ini sahaja pilihan yang ada dan saya tidak boleh tunggu bantuan daripada gerakan pelajar. Saya hanya fikir untuk pulang ke rumah secepat mungkin.

“Saya bimbang sekiranya terkandas lebih lama dan kerajan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP. Ia akan menjadi masalah besar,” katanya yang merupakan pelajar perakaunan dari UiTM.

Tinggalkan komen anda