Peminjam terjejas masih boleh minta bantuan bank


shadow

Peminjam, terutama yang terjejas susulan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan akibat lonjakan kes COVID-19 di Malaysia masih boleh mendapatkan bantuan pembayaran balik pinjaman daripada bank masing-masing.

“Peminjam tidak perlu bimbang. Bantuan pembayaran balik masih dilaksanakan dan akan dilanjutkan sehingga 2021. Kami faham keadaan dan ketidakpastian boleh berubah pada masa depan dan orang ramai boleh mendapatkan bantuan pada bila-bila masa,” kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew kepada Bernama hari ini.

Walaupun moratorium penangguhan pinjaman secara automatik, bantuan pembayaran balik dan moratorium bersasar yang selanjutnya tidak pernah berlaku sebelum ini, bank telah menggerakkan kesemua sumber mereka untuk menguruskan situasi ini.

“Bank-bank dalam kedudukan yang baik untuk memberi maklum balas mengenai keperluan peminjam. Semua bank mempunyai sumber khusus dan merekayasa semula proses untuk mengkaji kembali permohonan peminjam,” kata Chew.

Peminjam boleh menghubungi bank secara dalam talian atau panggilan telefon walaupun berada di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“BNM mempunyai laman khas (www.bnm.gov.my/tra) yang mana peminjam yang memerlukan bantuan pembayaran balik, boleh mendapatkan lebih banyak maklumat.

“Peminjam juga boleh mengisi borang di laman web http://bnm.my/RAsurvey berserta sedikit maklumat ringkas yang boleh kami gunakan untuk menguruskan panggilan semula daripada bank-bank mereka,” kata Chew.

Sebanyak 640,000 permohonan bantuan telah diterima setakat 9 Oktober lepas. Kadar kelulusan berjumlah 98 peratus dengan 40 peratus daripadanya menerima lanjutan moratorium dan 60 peratus lagi mendapat pengurangan ansuran.

Malah, Chew berkata, permohonan bantuan pembayaran semula telah mula diterima meskipun sebelum moratorium menyeluruh tamat.

Beliau menegaskan bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar adalah paling sesuai buat masa ini kerana ia membolehkan bank melanjutkan bantuan sementara kepada peminjam yang sangat memerlukan.

Bank juga telah lebih bersedia dengan menyediakan infrastruktur untuk membantu peminjam berbanding ketika pandemik ini kali pertama berlaku.

“Pada Mac tahun ini…ketika segala aktiviti terhenti secara tiba-tiba, tiada siapa menyangka situasi seperti itu akan terjadi. Dalam situasi berkenaan, terdapat keperluan untuk menyediakan bantuan segera kepada peminjam.

“Kini, bukan hanya sistem penjagaan kesihatan kita yang lebih bersedia, malah bank juga begitu,” katanya.

Bantuan bayaran balik bersasar turut menambah baik kebolehlihatan prestasi pinjaman bank.

“Masih banyak ketidakpastian memandangkan kita belum tahu berapa lama pandemik ini akan berakhir, sekurang-kurangnya sehingga vaksin dibangunkan. Oleh itu, adalah penting untuk menjimatkan sumber dan diberikan kepada perniagaan dan mereka yang memerlukan sahaja,” katanya.

Pinjaman baharu turut penting untuk menyokong pemulihan ekonomi dan bank perlu selesa untuk memberikan pinjaman, kata Chew.

“Sekiranya sumber digunakan di tempat lain, ia mungkin menjejaskan aliran kredit kepada sektor yang memerlukan pembiayaan untuk memulakan semula aktiviti perniagaan. Ini seterusnya boleh menjejaskan ekonomi dan kadar pemulihan ekonomi,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda