Pengecualian cukai lonjak jualan kereta


shadow

PELAN Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Putrajaya membantu meningkatkan penjualan kereta dalam tempoh beberapa bulan terakhir, kata Persatuan Automotif Malaysia (MMA) dan pengedar kereta.

Ia menyaksikan peningkatan dalam jumlah pembelian kereta tempatan tetapi pembeli tidak memilih kereta mewah pada masa ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu, kata pengedar kereta kepada The Malaysian Insight.

Presiden MMA Aishah Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, keputusan kerajaan mengecualikan cukai jualan membantu kerana terdapat peningkatan dalam penjualan.

“Pada Julai, 52,000 kereta terjual. Angka itu meningkat menjadi 57,000 pada Ogos.

“Orang ramai segera membeli kereta pada masa ini,” katanya.

Aishah berharap Putrajaya akan memanjangkan pengecualian cukai tetapi tidak yakin ia akan berlaku.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian cukai jualan 100% kepada model pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember.

Muhyiddin juga mengumumkan beberapa langkah untuk merangsang ekonomi negara, yang dipengaruhi oleh wabak Covid-19.

Jurucakap Honda Malaysia Sdn Bhd, Sunita Prabakaran memberitahu The Malaysian Insight yang penjualan sangat menggalakkan sejak Penjana dilaksanakan.

“Melalui inisiatif ini, kami dapat menurunkan harga kereta sehingga RM9,502.47.

“Pengecualian cukai jualan pasti menjadi faktor menggalakkan sejak kami meneruskan perniagaan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP). Kami mencatat momentum penjualan yang positif dan berharap dapat mempertahankannya,” kata Sunita.

Terdapat tujuh model Honda dipasang di Malaysia. Ia adalah Honda Jazz, City, Civic, BR-V, HR-V, CR-V dan Accord.

Penjual kereta Perodua, Ahmad Fuad Razlan berkata beliau tidak menyangka orang ramai akan membeli kereta dalam tempoh ini.

Katanya, walaupun risau, beliau berjaya menjual lima kereta bulan lalu.

“Memandangkan wabak dan masalah ekonomi, saya sememangnya terkejut. Tiga orang membeli model Axia terbaharu dan dua lagi Perodua Aruz baharu.

“Bagi saya, ia adalah adalah satu kejayaan. Ya, skim Penjana membantu jurujual seperti saya,” kata Fuad.

Azhar Abdul Hashim berkongsi sentimen yang sama dengan Fuad. Beliau mengakui lebih bergantung kepada penjualan kereta buatan tempatan berbanding kereta import atau mewah.

“Jika anda lihat di jalan raya, banyak kereta Perodua dan Proton. Juga kereta Honda dan Toyota yang dipasang di sini. Orang ramai membeli jenis kereta itu kerana harganya rendah sekarang, susulan pengecualian cukai jualan.

“Saya tidak boleh bergantung kepada penjualan kereta mahal,” kata peniaga kereta yang berpengalaman selama 20 tahun.

Seorang penjual kereta yang ingin dikenali sebagai Rahman, berkata kereta nasional seperti Proton dan Perodua mendapat permintaan yang tinggi.

“Reka bentuknya bagus, teknologi yang digunakan setanding dengan kereta import. Sistem tanpa kunci, sistem ABS, luas dan warna yang cantik.”

“Saya ada enam pelanggan yang ingin membeli Myvi dan Axia baru. Tiga berjaya mendapatkan pinjaman. Sementara tiga yang lain tidak dapat.

“Ini menunjukkan orang ramai membeli kerana harganya,” kata Rahman.

Sementara itu, Profesor Universiti Malaya, Dr Nazari Ismail menasihati orang ramai agar tidak berbelanja terhadap kenderaan dengan mudah kerana harganya murah.

“Ya, pengecualian cukai jualan menurunkan harga kereta tetapi pengguna mesti bijak. Jika kereta anda masih dalam keadaan baik tidak perlu beli kereta baru hanya kerana ia murah.

“Perkara boleh menjadi lebih buruk, dan jika ia menjadi lebih buruk, kita semua akan berdepan masalah. Kita tidak mahu berhutang,” kata Nazari daripada fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Tinggalkan komen anda