Pengusaha pelancongan mahu pelepasan cukai, subsidi upah


shadow

 Pemegang taruh industri pelancongan mengharapkan pelepasan cukai yang sangat diperlukan serta subsidi upah bersesuaian dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan 6 Nov ini.

Pandemik Covid-19 mengakibatkan sektor pelancongan hampir runtuh, dengan perbelanjaan pelancong asing di negara ini menurun hampir 70% daripada RM41.69 bilion pada 2019 kepada RM12.58 bilion untuk 6 bulan pertama tahun ini dan pasaran pelancong domestik kerugian RM13 bilion dalam tempoh sama.

Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong mahu melihat insentif yang akan menggalakkan syarikat menganjurkan acara dengan pemegang taruh industri berlesen seperti syarikat pelancongan dan hotel.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng pula berharap dapat melihat pengurangan cukai dan yuran kerana ia tidak produktif kepada pelancongan dan menambah beban pelancong.

Dengan sektor pelancongan dan hotel di negara ini “masih lemah dan sangat rapuh”, Yap berkata, kerajaan perlu mengakui sektor itu belum mampu bangkit secara bersendirian.

“Industri ini menantikan lebih banyak pelepasan cukai, insentif serta penstrukturan semula keseluruhan cukai melibatkan industri pelancongan dan hotel.

“Ini seiring pengelasan semula tarif elektrik untuk hotel kepada tarif industri dan bukannya komersial, di samping melanjut dan meningkatkan potongan utiliti semasa untuk premis pelancongan.”

Katanya, antara cukai dan yuran yang perlu ditangani industri ialah cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai pelancongan, cukai digital, cukai hiburan, cukai warisan, yuran promosi pelancongan dan hotel tempatan.

Sementara itu, Wong berkata, Matta percaya lebih banyak insentif akan diberikan kepada industri itu dalam bentuk insentif cukai kepada pengguna.

“Insentif cukai lain ialah kenaikan pelepasan cukai pendapatan peribadi khusus untuk perjalanan, yang sepatutnya hanya diberikan kepada pengusaha dan agensi pelancongan berlesen.”

Februari lalu, kerajaan mengumumkan pelepasan cukai individu sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik dalam usaha memacu pelancongan domestik. Pelepasan cukai itu sepatutnya berakhir 31 Ogos lalu, tetapi ia dilanjutkan hingga 31 Dis 2021.

Subsidi upah

Yap yang menyifatkan subsidi upah semasa “tidak mencukupi” berkata, setakat ini, subsidi itu sama dengan yang diberikan kepada industri lain.

“Ini walaupun sektor pelancongan terjejas lebih awal dan lebih teruk berbanding industri lain dan akan menjadi yang terakhir untuk pulih.”

MAH sebelum ini mencadangkan sistem subsidi upah berperingkat untuk industri pelancongan pada kadar 50% bagi pekerja dengan gaji sehingga RM4,000 dan 30% untuk yang berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000.

Katanya, subsidi upah berperatusan tinggi ialah model yang berjaya dilaksanakan di negara seperti Singapura, Kanada, Australia dan UK.

Gaji pekerja yang merupakan kos utama berikutan industri, khususnya agensi pelancongan, berintensifkan tenaga kerja, Wong berharap Belanjawan 2021 akan memperkenalkan program subsidi upah khusus untuk industri pelancongan.

“Industri pelancongan terjejas teruk (dengan pandemik), masalah utama kami sekarang ialah mengekalkan pekerja dan bakat.

“Industri ini mempunyai 3.6 juta pekerja dan mereka menderita dari segi kerja. Perniagaan perlu mampu diteruskan supaya pekerja dapat mengekalkan pekerjaan mereka.”

Subsidi upah di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan sejak Mac lalu terhad kepada rakyat berpendapatan RM4,000 dan kurang setiap bulan. Subsidi antara RM600 hingga RM1,200 bagi setiap pekerja itu bergantung kepada saiz syarikat.

Isu lain

Wong berkata, Matta sedang mengkaji model dana khas yang diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan industri pelancongan.

Ini termasuk geran digitalisasi untuk e-dagang dan promosi dalam talian serta geran lebih sesuai dengan industri, apabila sempadan antarabangsa dibuka semula dan perniagaan pulih sepenuhnya.

Beliau juga berharap Belanjawan 2021 akan menyediakan dana untuk menaik taraf prasarana dan modal pelancongan untuk promosi serta pemasaran.

Beliau turut menggesa lanjutan moratorium pinjaman dan pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang tamat tempoh bulan lalu, khusus untuk syarikat berkaitan pelancongan.

Yap berkata, kerajaan perlu memastikan inisiatif Belanjawan 2021 berkaitan pelancongan mencapai kumpulan sasar yang betul, terutama yang teruk terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata. peruntukan belanjawan untuk penguatkuasaan perlu diutamakan, dan pelaksanaannya perlu dipantau untuk melindungi pemegang taruh yang sah.

“Industri ini tidak lagi mampu berdepan ketirisan daripada aktiviti dikawal selia dan haram seperti perkongsian rumah atau Airbnb yang tidak menyumbang kepada industri ini. Ini termasuk pengusaha pelancongan haram yang menawarkan pakej pelancongan tanpa lesen.”-FMT

Tinggalkan komen anda