Pengusaha restoran akur pelaksanaan PKPB, tapi mohon lanjut moratorium


shadow

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang mempunyai lebih 4,000 ahli akur dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama 2 minggu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan meminta kerajaan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik sehingga hujung tahun ini bagi meringankan beban pengusaha restoran yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, pengusaha restoran masih perlu menanggung bebanan lain, walaupun mereka boleh memohon moratorium itu dilanjutkan.

“Kita akan akur apa saja yang mahu dilaksanakan kerajaan untuk membendung Covid-19. Kita tak akan minta buka restoran 24 jam.

“Tetapi, sekarang ahli-ahli saya terkesan, lebih-lebih lagi apabila moratorium telah tamat, nak bayar hutang bank pun tak mampu,” katanya kepada FMT.

Beliau juga meminta pihak berkuasa terus mengeluarkan kompaun kepada individu yang tidak memakai pelitup muka dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi SOP.

“Boleh saman terus. Dalam keadaan sekarang ini, polis perlu perhalusi perkara ini.”

PKPB dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini sehingga 27 Okt, manakala Sabah bermula semalam hingga 26 Okt ini.https://48de4510f9a541d5f99d814f092faf64.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob ketika membuat pengumuman itu kelmarin berkata, perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB, tetapi semua kegiatan ekonomi di 3 kawasan itu boleh beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong berkata, pihaknya sedia mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, termasuk memendekkan waktu operasi dan mengehadkan jumlah pelanggan dalam premis.

Beliau bersetuju sebuah meja makan hanya dibenarkan untuk 2 atau 4 orang, berdasarkan saiz meja serta menggalakkan pelanggan membungkus atau menggunakan perkkhidmatan penghantaran.

“Kita tidak galak orang ramai datang ke kedai untuk minum dan sebagainya. Itu akan membahayakan kontak rapat antara satu sama lain, termasuk juga pelanggan dengan pekerja kedai.

“Buat masa ini, kita sudah maklumkan ahli-ahli kami untuk melaksanakan cara yang kita cadangkan. Kita balik ke cara sebelum ini, iaitu ‘take away’.

“Kita galakkan (pelanggan membungkus makanan) dan ini salah satu cara untuk kurangkan impak atau kontak antara pelanggan dengan pelanggan dan pelanggan dengan pekedai.”

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan 18 Mac lalu, restoran hanya dibenarkan beroperasi untuk kaedah bungkus dan penghantaran, sebelum kerajaan melonggarkan peraturan bagi orang ramai makan di restoran dengan mematuhi syarat tertentu.

Selain kapasiti maksimum 4 orang untuk sebuah meja, pelanggan juga perlu mencatatkan nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan mengambil suhu badan. Meja juga perlu dipisahkan dengan jarak 2m.-FMT

Tinggalkan komen anda