PKPB Sabah dilanjutkan hingga 9 November


shadow

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang sepatutnya berakhir Isnin ini, akan dilanjutkan sehingga 9 November depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berikutan saringan bersasar dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan masih terdapat peningkatan kes positif tinggi dalam kalangan penduduk Sabah.

“Atas cadangan negeri Sabah, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh negeri itu selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober hingga 9 November depan,” katanya dalam sidang akhbar keselamatan, hari ini.

PKPD Sabah yang bermula 13 Oktober lalu dijadualkan berakhir 26 Oktober ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan dua lagi kawasan di daerah Tawau di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Balung.

Beliau berkata, PKPD di dua kawasan itu akan berkuat kuasa 26 Oktober hingga 10 November depan dan akan membabitkan 4,266 rumah dengan jumlah penduduk 21,470 orang.

“Menerusi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang antara lainnya tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian perlu mengemukakan permohonan kepada polis, manakala sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini.

“Kelonggaran bagaimanapun diberikan kepada kedai runcit untuk beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 6 petang, dengan aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan bersasar kepada penduduk terbabit.

“Bagi yang memerlukan bantuan makanan, ia akan diagihkan kepada kerajaan negeri yang akan dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda