Radzi nafi KPM lambat bertindak


shadow

Sebarang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata KPM menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

“Kami di KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa KPM seolah-olah lambat membuat keputusan namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

“Ianya tidak pernah berlaku. Namun kita (KPM) mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu,” katanya.

Katanya lagi, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, operasi institusi pendidikan di bawah KPM tetap berjalan lancar.

“Kita belajar bahawa ketelitian adalah penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu,” katanya.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor; Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, Radzi berkata keputusan diambil setelah mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan terbabit berada dalam zon merah.

“Sepertimana yang dinyatakan perdana menteri dalam perutusan khasnya semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat KKM,” katanya.

Justeru, dia mengajak semua pihak termasuk rakyat Malaysia untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik berkenaan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda