Rakyat bantah jika kes rasuah berprofil tinggi digugur, kata peguam


shadow

 Seorang peguam memberi amaran bahawa rakyat akan mengecam keras kerajaan jika peguam negara (AG) memutuskan untuk menarik balik pertuduhan jenayah serius terhadap 6 ahli Parlimen Umno.

Mohamed Rafique Rashid Ali berkata, sebahagian kes berkenaan kini berada dalam proses perbicaraan dan masyarakat mengikutinya dan tahu tentang beberapa keterangan penting daripada saksi pendakwaan.

“Ia akan melahirkan defisit kepercayaan terhadap pemerintah sekiranya pertuduhan ditarik balik sebagai tukaran bagi sokongan politik,” katanya.

Rafique berkata demikian sebagai respons kepada temu bual Malaysiakini dengan pengasas PKR Syed Husin Ali yang percaya ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim akan mematuhi keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bekerjasama dengan ahli Parlimen Umno berkenaan untuk membentuk kerajaan baru.

Terdapat kebimbangan bahawa presiden PKR akan membuat perjanjian dengan ahli Parlimen Pekan Najib Razak, yang berdepan 3 perbicaraan berkait tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram bagi mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Dakwaan itu dihangatkan oleh laporan bahawa Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga berdepan tuduhan rasuah, menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Bagaimanapun, Anwar pada Selasa menegaskan tiada perjanjian dibuat dengan mana-mana ahli Parlimen yang berdepan tuduhan jenayah sebagai tukaran bagi sokongan mereka.

“Tiada ‘balas dendam politik’ terhadap sesiapa. Saya juga sudah jelaskan bahawa kita komited untuk melaksanakan proses reformasi, kebebasan badan kehakiman dan keluhuran undang-undang,” kata beliau pada sidang media.

Selain Najib dan Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, pemimpin lain yang berdepan tuduhan jenayah adalah ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan; ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor; ahli Parlimen Baling Abdul Azzez Rahim dan ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara yang juga merupakan pendakwa raya mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan.

Beliau berkata, integriti Jabatan Peguam Negara akan dipersoal dan tercemar sekiranya pendakwaan terhadap kes berprofil tinggi tidak diteruskan berikutan pertukaran kerajaan.

Peguam A Srimurugan berkata, kecaman rakyat akan tercetus jika 2 keputusan terbaru pendakwa raya berkenaan digunakan sebagai petunjuk.

“Orang ramai dan masyarakat sivil membantah keras apabila pendakwa menarik balik 46 tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram terhadap bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pada Jun.

“Sebulan sebelum itu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan pengeluar filem Hollywood Riza yang berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta,” kata Srimurugan, merujuk kepada anak tiri Najib yang didakwa menggunakan dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau berkata, keputusan menarik balik pertuduhan rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa PH memerintah pada 2018 memberi tanggapan bahawa semua keputusan pendakwaan dikawal oleh mereka yang berkuasa.

Dalam perbicaraan meminda laporan audit 1MDB, Najib didakwa menyalahgunakan kuasannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dengan cara mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Najib juga berdepan 25 tuduhan penyalahangunaan kuasa dan penggubahan wang haram berhubung pemindahan dana sebanyak RM2.28 bilion ke akaun bank miliknya daripada 1MDB.

Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah juga berdepan 6 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion, tetapi perbicaraan itu akan bermula tahun depan.

Zahid kini menghadapi 12 tuduhan pecah amanah, 8 tuduhan rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang berjumlah RM117 juta di Mahkamah Tinggi.

Selain itu, beliau juga berdepan 40 tuduhan rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN), walaupun perbicaraan kes itu belum bermula.

Tengku Adnan, yang juga bendahari Umno, akan tahu pada 17 Nov depan sama ada beliau akan dibebaskan atau disabit kesalahan dalam kes rasuah melibatkan wang RM2 juta.

Pada 23 Nov, kes rasuah Tengku Adnan yang ke-2 melibatkan wang RM1 juta akan bermula.

Perbicaraan bekas pengurusi Tabung Haji Azeez dan abangnya Latif bermula pada Ogos dan 3 saksi telah dipanggil.

Azeez berdepan 3 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta membabitkan projek menaik taraf jalan bernilai RM842.3 juta di Kedah dan Perak serta 9 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai hampir RM140 juta.

Abangnya didakwa bersubahat dengannya.

Ahmad Maslan juga menghadapi 2 tuduhan penggubahan wang haram kerana gagal mengisytiharkan cukai pendapatan beliau pada 2013 sebanyak RM2 juta yang didakwa diterima daripada Najib.

Setiausaha Agung Umno itu juga didakwa memberikan maklumat palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bung Moktar, bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra berdepan 3 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual melalui isterinya Zizie Ezette.-FMT

Tinggalkan komen anda