Selangor syor PKPD di PJ Utara, bukannya PKPB seluruh negeri


shadow

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) sebelum ini menyarankan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Petaling Jaya Utara, bukannya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh negeri, menurut sumber.

PKPD adalah penguatkuasaan yang lebih ketat dengan semua isi rumah dilarang keluar dengan bekalan makanan diberikan dan semua perniagaan ditutup untuk satu tempoh masa bagi pelaksanaan pengesanan kontak. Ia biasanya ditamatkan setelah semua penduduk menjalani ujian.

Sumber berkata, STFC mencadangkan PKPD di sana susulan peningkatan kes di kawasan Bandar UTama dan Tropicana – kedua-duanya dalam Petaling Jaya Utara.

Setakat semalam, kluster Bah Tropicana dan Utama masing-masing mencatatkan 42 dan 183 kes positif.

Cadangan PKPD adlaah untuk mengekang penularan di sana dan menyaring seramai mungkin penduduk, kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan PKPNB – yang lebih longgar – di seluruh negeri bermula 14 hingga 27 Oktober. Mereka yang bekerja masih dibenarkan merentas daerah.

MKN turut menguatkuasakan PKPD di asrama pekerja Tropicana Golf and Country Resort tetapi membenarkan penduduk di kawasan kejiranan mewah itu untuk bergerak di dalam daerah.

‘Hidup dengan musuh halimunan’

Ketika dihubungi, Pengerusi STFC Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan berkenaan cadangan PKPD di Petaling Jaya Utara dan menyuarakan kekecewaan dengan keputusan kerajaan.

Katanya, sekatan pergerakan perlu dibuat mengikut daerah, bukannya menerusi penguatkuasaan terhadap seluruh negeri.

“Jepun kini memutuskan untuk ‘hidup bersama’ (coexist) dengan virus. Ini kerana selagi tiada vaksin, virus ini akan tetap ada di persekitaran kita.

“Jadi apa yang perlu dibuat? Virus ini bermutasi…Satu-satunya kaedah saintifik yang wajar ialah untuk patuh SOP, termasuk penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan bersihkan tangan.

“Selagi tiada vaksin, kita terpaksa kongsi persekitaran kita dengan musuh halimunan ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyatakan “terkejut” dengan keputusan MKN untuk menguatkuasakan PKPB di seluruh Selangor – termasuk di daerah Sabak Bernam yang sifar kes sejak beberapa bulan.

Sejak pengumuman PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pihak berkuasa telah beberapa kali melonggarkan SOP.

Misalnya penduduk dibenarkan duduk lima orang semeja – berbanding dua orang – di restoran dan taman awam juga telah dibuka.

Penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dibenarkan bergerak dalam wilayah masing-masing, bukannya kekal di daerah tempat tinggal sahaja.-Mkini

Tinggalkan komen anda