SOP lebih ketat, kawal penularan Covid-19 dalam penjara – PM


shadow

 Ujian ‘swab’ saringan COVID-19 wajib bagi semua banduan baharu, serta ditempatkan di tempat berasingan yang diwartakan ‘penjara sementara’, sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya Muhyiddin berkata, SOP yang lebih ketat di penjara ini dibuat Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19, selepas mengambil kira penularan kes COVID-19 di dalam kawasan penjara.

“Sekiranya hasil ujian didapati positif COVID-19, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital, manakala mereka yang negatif akan tetap dikuarantin di ‘penjara sementara’ selama 14 hari, sebelum dipindahkan ke penjara kekal. Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, walaupun diuji negatif.

“Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah, dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Mengenai situasi pandemik di Sabah terutama di kawasan pantai timur beliau berkata, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik, akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital, serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dimaklumkan untuk bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negeri itu.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda