Syarikat perlu terbuka dengan prospek kenaikan gaji, bonus


shadow

Kumpulan majikan menasihatkan syarikat bersikap telus dengan pekerja mengenai prospek kenaikan gaji dan bonus tahunan berikutan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Satu kajian dijalankan Mercer, perunding sumber manusia serantau terkemuka, mengunjurkan kenaikan gaji tahunan 2021 boleh mencapai tahap terendah dalam 5 tahun ini dengan purata 4.5%, jika ada.

Mercer juga melaporkan kebanyakan syarikat sama ada akan menyemak semula bonus mereka atau tidak memberi bonus tahun ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, syarikat mesti melakukan yang terbaik untuk memastikan pekerja memahami tekanan kewangan yang dihadapi perniagaan supaya pengurangan gaji atau pembayaran tertunggak tidak menimbulkan konflik.

“Apa yang majikan boleh buat adalah berkongsi dengan pekerja apa yang mereka sedang lalui,” katanya kepada FMT.

“Mereka perlu bersikap terbuka dan telus. Daripada pekerja mendengarnya melalui pihak lain, lebih baik ia datang dari syarikat sendiri.”

Katanya, ini akan membantu mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja, yang kebanyakannya akan berdepan pasaran pekerjaan tidak mesra sekiranya mereka memilih meletak jawatan.

Shamsuddin berkata, dengan sesetengah syarikat berdepan pengurangan pendapatan melebihi 30%, “banyak daripadanya berada dalam mod bertahan” dan perlu mengambil langkah pengurangan kos untuk mengelakkan pemberhentian pekerja.

Sementara itu, Soh Thian Lai, presiden Persekutuan Pengilang Malaysia berkata, sesetengah syarikat akan berdepan masalah besar untuk “mengekalkan kadar bayaran bonus dan kenaikan gaji yang diberikan beberapa tahun lalu”.

Beliau berkata, ketelusan akan menjadi “faktor paling penting” dalam menangani kemungkinan pekerja memprotes.

Katanya, pekerja dan kesatuan perlu memahami sebab majikan tidak mampu memberi kadar bayaran seperti dahulu.

Merujuk syarikat yang mula melihat tanda-tanda pemulihan, Soh berkata, mereka boleh memilih menangguhkan pembayaran itu sehingga perniagaan stabil berbanding membatalkannya secara keseluruhan.

Katanya, ini akan membantu menenangkan pekerja yang mungkin mengalami masalah kewangan.

“Keutamaan bagi pengusaha ialah memastikan mereka boleh mengekalkan pekerja mereka, walaupun dengan beberapa langkah pengurangan kos dalam usaha mengatasi impak pandemik.”-FMT

Tinggalkan komen anda