Tengku Zafrul sahkan jalani ujian saringan Covid-19


shadow

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan sudah melakukan ujian saringan Covid-19 hari ini dan kini menjalani pemantauan kesihatan di rumah.

Beliau berkata, ujian saringan itu dibuat kerana beliau terlibat dalam satu mesyuarat pada Sabtu lalu yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang baharu sahaja disahkan positif Covid-19.

“Saya telah mengambil ujian saringan Covid-19 tengah hari tadi dan keputusan akan dimaklumkan apabila diperoleh.

“Seperti yang disarankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan KKM (Kementerian kesihatan), saya akan menjalani pemantauan kesihatan kendiri di rumah.

“Saya juga akan melakukan tugasan dari rumah serta bermesyuarat secara maya,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Tengku Zafrul melalui media sosial itu turut berharap Zulkifli segera sembuh.

Terdahulu, Zulkifli membuat pengesahan dirinya positif Covid-19 menerusi Facebooknya hari ini dan memaklumkan kini sedang menjalani rawatan.

Menerusi hantaran sama, beliau turut meminta orang ramai yang menghadiri majlis yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Beliau juga mendoakan ALLAH menyembuhkan dan menyelamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19.-Sinar

Tinggalkan komen anda