Tiada ‘total lockdown’ buat masa ini, kata PM


shadow

Kerajaan belum merancang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara total di seluruh negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini kerajaan akan melaksanakan  perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) secara pentadbiran  di kawasan mencatatkan kes tinggi Covid-19.

“Setakat hari ini kita tidak memikirkan soal melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara atau ‘total lockdown’.

“Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara. Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara bersasar di kawasan dikenalpasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi,” katanya pada sidang media perutusan khas perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, setakat ini aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan yang diambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Tutup sekolahhttps://81cf10b832ffe4d8258f5b924cc3c26e.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Mengulas kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak ke sekolah Muhyiddin berkata, kerajaan belum memutuskan menutup ssekolah di kawasan zon merah membabitkan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak Dan Semporna, Sabah.

“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 selepas menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekiranya terdapat keperluan untuk menyekat pergerakan rentas negeri, MKN akan berbincang dan membuat keputusan mengenainya. Saya memberi jaminan notis yang mencukupi akan diberikan kepada orang ramai sebelum sebarang keputusan dilaksanakan supaya tidak ada sesiapa yang terkandas,” katanya.

Had majlis

Dalam perkembangan sama, Muhyididn berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan.

“Ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai. Bagaimanapun, kerajaan akan mendapatkan input daripada KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu.

“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan dikeluarkan kerajaan. Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika ‘abah’ ini mula menggunakan rotan,” katanya.

Jangan panik

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak panik dengan situasi jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat ketika ini.

“Elakkan penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru, yang penting kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah sedang dihadapi negara. Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama,” katanya.

Sebanyak 691 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 4 kematian direkodkan, manakala kes aktif hampir 3,000 orang.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 13,504 kes Covid-19 dengan 10,427 daripadanya disahkan sembuh.-FMT

Tinggalkan komen anda