Tidak benar dakwaan 90 peratus positif COVID-19 kunjungi pusat beli-belah


shadow

Kerajaan menafikan dakwaan 90 peratus individu yang disahkan positif COVID-19 pernah mengunjungi pusat beli-belah di Lembah Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dakwaan yang tular di media sosial itu adalah berita palsu.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai.

“Perkara yang belum tentu sahih, jika kita turut sebarkan, dan sekiranya ia didapati tidak benar, anda juga boleh dikenakan tindakan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang berita diragui kesahihannya kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya,my untuk menyemak kesahihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 273 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19 dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sehingga hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 136 masih dalam siasatan, manakala 35 kes sudah didakwa di mahkamah; didapati bersalah (21); dalam perbicaraan (13) dan diberikan notis amaran (12).

“Tindakan penguatkuasaan aktif juga sedang dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan awam yang diterima.

“Sebanyak 398 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh PRP, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda