Tidak mungkin kadar jangkitan Covid-19 turun mendadak, kata pakar perubatan


shadow

Pakar perubatan berkata tidak mudah untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dalam waktu singkat di Selangor.

Ini selepas Kementerian Kesihatan memberi gambaran pada Selasa bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu mungkin ditamatkan sekiranya kadar itu turun kepada 0.3 dalam tempoh 7 hari lagi.

Setakat ini, kadar jangkitan semasa (R0, disebut R naught) adalah sekitar 1.5 di Selangor.ADVERTISING

Bercakap kepada FMT, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sasaran itu boleh dicapai sekiranya kes jangkitan berada dalam komuniti tertutup seperti pusat tahanan atau penjara.

“Sekiranya berlaku penularan dalam komuniti yang signifikan seperti di Selangor dan Kuala Lumpur, kita memerlukan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 minggu untuk mencapai R0 0.3, walaupun langkah terbaik diambil,” katanya.

Terdahulu, ketika permulaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, nilai R0 adalah 3.5. Ia turun kepada 0.3 pada Mei susulan tindakan yang diambil oleh kerajaan serta pematuhan orang ramai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Seseorang pesakit Covid-19 boleh mengambil masa sehingga 14 hari sebelum menunjukkan sebarang gejala dan ujian reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) boleh menunjukkan keputusan negatif hingga 8 hari setelah jangkitan.

“Oleh itu, terdapat tempoh selang antara kawalan berkesan dan pengurangan kes.”

Beliau berkata, kes baru akan terus meningkat walaupun R0 turun secara berperingkat.

“Jumlah kes aktif hanya akan turun selepas R0 mencapai tahap bawah 1.”

Ketika ditanya apakah PKPB di Selangor harus dilanjutkan atau dipertingkatkan, beliau berkata: “PKPB yang ketat bergantung pada keamatan dan sebaran penularan virus dalam komuniti.

Justeru katanya, keputusan perlu dibuat berdasarkan data dan sains.

“Sehubungan itu saya menggesa Kementerian Kesihatan supaya berkongsi data yang ada dengan orang ramai, terutama kerajaan negeri, universiti, NGO dan lain-lain.”

Persatuan Perubatan Malaysia berkata pihaknya menjangka jumlah kes harian akan kekal tinggi kerana tunggakan keputusan ujian di Sabah.

“Ada kemungkinan R0 dapat dikurangkan, tetapi ini akan bergantung kepada sejauh mana kita berjaya kurangkan kepadatan di kawasan di bawah PKPB dan tahap pematuhan SOP.

“Sainsnya mudah. Apabila kita kurangkan kepadatan dan hubungan manusia ke manusia, kita kurangkan peluang virus itu tersebar atau kurangkan perumah virus. Jangka hubungan antara manusia ke manusia juga merupakan faktor.

“Lima minit singgah di kedai untuk membeli surat khabar lebih rendah risikonya berbanding berdiri dalam kereta api yang sesak selama 1 jam,” kata presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy kepada FMT.

Beliau juga bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan arahan kerja dari rumah di Selangor.

“Selangor dan Kuala Lumpur adalah hab komersial dan perindustrian utama negara dan mempunyai populasi paling ramai.

“Sekiranya lebih ramai orang bekerja dari rumah, saya yakin R0 boleh diturunkan dan keluknya akan rata lebih cepat,” katanya.-FMT

Tinggalkan komen anda