Acara ‘cahaya biru’ di Putrajaya: Saddiq persoal keutamaan KKM


shadow

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) apabila ia melancarkan acara LightUpBlue@ Putrajaya bagi menghargai jururawat dan petugas barisan hadapan.

Ini kerana acara berkenaan dianjurkan ketika wabak Covid-19 menyaksikan kekurangan kemudahan kesihatan di seluruh negara.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Syed Saddiq bertanya bagaimana petugas barisan hadapan di Sabah akan berasa dihargai oleh acara yang dianjurkan kementerian itu di Putrajaya.

“Mujur ada program ini untuk menghargai semua petugas kesihatan. Jika tidak dinyalakan lampu biru di Putrajaya, mungkin frontliners (petugas barisan hadapan) akan rasa terabai dan tidak dihargai lagi.

“Sementara itu di Sabah, ada frontliners yang terpaksa pakai kenderaan 4×4 (pacuan empat roda) sendiri dan ambil pesakit di pedalaman untuk dibawa ke Hospital.

“Tapi, mungkin frontliners Sabah juga dapat menikmati limpahan cahaya lampu biru di Putrajaya sebagai tanda mereka dihargai,” katanya.

Untuk rekod baru-baru pegawai kesihatan di Sabah dilapor perlu menggunakan kenderaan peribadi mereka sendiri sebagai ambulans untuk membawa pesakit dari kawasan luar bandar yang dilanda banjir.

Acara ‘LightUpBlue@Putrajaya merupakan kerjasama antara KKM dan Perbadanan Putrajaya sempena hari diabetes sedunia.

Acara berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Noor Azmi Ghazali dan bermula 7 malam ini (12 Nov) sehingga 15 Nov.

Ia menyaksikan bangunan dan persekitaran di Putrajaya diterangi cahaya biru “sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada jururawat dan barisan hadapan yang terus memberikan perkhidmatan rawatan diabetes”.

Poster acara itu turut memaklumkan program itu “disokong” oleh syarikat farmasi Novo Nordisk Malaysia.

Beribu pejabat di Denmark, ia merupakan syarikat penjagaan kesihatan global bagi merawat diabetes dan penyakit lain.-Mkini

Tinggalkan komen anda