Ahli Parlimen pembangkang mungkin tak sokong belanjawan


shadow

Penganalisis politik berkata, perhatian kini beralih kepada kerajaan untuk melihat Belanjawan 2021 diluluskan kerana ahli Parlimen pembangkang setakat ini berkata mereka bersedia menyokong belanjawan itu, tetapi dengan pindaan ke atas Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, kedua-dua pihak perlu membincangkan pindaan tersebut.

Berdasarkan hari pertama perbahasan di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang dilihat bersetuju menyokong RUU itu, tetapi dengan perubahan.

“Ahli Parlimen mungkin mahu mengelak dilabel menentang Agong,” katanya merujuk nasihat Yang di-Pertuan Agong agar ahli Parlimen menyokong belanjawan ketika negara memerangi Covid-19.

Sivamurugan berkata, pembangkang mungkin tidak akan mengundi jika pindaan tidak dilakukan.

Katanya, kerajaan tidak akan rugi jika mereka menerima permintaan pembangkang.

Ahli Parlimen pembangkang meminta moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan lagi kerana syarikat terus mengalami kemerosotan dalam perniagaan akibat sekatan pergerakan. Pembangkang juga meminta lebih pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran dari Akaun 1 mereka.

“Jika kerajaan boleh membuat pindaan yang dimahukan pembangkang, belanjawan itu mungkin diluluskan dengan majoriti lebih besar,” kata Sivamurugan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju.

“Jika pandangan pembangkang diambil kira, belanjawan akan diluluskan,” katanya kepada FMT merujuk kebimbangan bulan lalu yang RUU Perbekalan mungkin tidak mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen yang mahu pilihan raya kilat diadakan.

Kegagalan meluluskan RUU Perbekalan akan mengakibatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, tumbang secara automatik.

Awang Azman berkata, kerajaan perlu mendengar cadangan ahli Parlimen.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, jumlah ahli Parlimen yang berkecuali daripada undi belanjawan itu mungkin lebih tinggi tahun ini.

Perbahasan belanjawan bermula semalam dan dijangka berterusan selama 3 minggu.

Semalam, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2021 mungkin tidak dapat diluluskan dengan mudah kecuali pindaan dilakukan.-FMT

Tinggalkan komen anda