Anwar tidak mampu: Dr. M menyatakan perkara yang benar – Mukhriz


shadow

BEKAS perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menyatakan perkara yang benar apabila berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkemampuan untuk memimpin negara ketika berhadapan dengan krisis ekonomi.

Presiden (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu dibuat berdasarkan pengalamannya bersama Anwar ketika mentadbir negara.

“Saya ingat Tun (Dr Mahathir) menyatakan perkara yang benar, dia menceritakan mengenai tahun 1998 bila kita alami krisis kewangan, masa dia ambil cuti … dia serah kepada Datuk Sri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, untuk ganti sebagai pemangku jawatan Perdana Menteri.

“Mungkin dilihat cara (Anwar) menguruskan kewangan negara dengan menerima sebulatnya-bulatnya syor daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) ketika itu, tidak sesuai dengan keadaan, itu yang (Dr Mahathir) sebut dalam buku Doktor Umum… itu (juga) disebut dalam interviu baru-baru ini,” kata Mukhriz lagi.

Beliau berkata demikian terhadap dakwaan kononnya kononnya Dr Mahathir cuba untuk menghalang mandat rakyat dikembalikan kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini Ketua penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa Dr Mahathir cuba menghalang Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

Ini selepas Dr. Mahathir dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita berkata, Anwar tidak mampu memimpin negara yang sedang berhadapan krisis ekonomi.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir yang terkini menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.

“Serangan beliau terhadap Anwar adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan,” kata Shamsul Iskandar semalam.

Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dilaporkan berkata, Anwar tidak layak memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Dr. Mahathir berkata Anwar tidak mampu mengemudi negara jika krisis kewangan berlaku seperti yang terjadi pada 1997. Ketika itu Anwar menjadi timbalan perdana menteri.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam wawancara itu.-SM

Tinggalkan komen anda