Belanjawan 2021: Mengembalikan dana, kuasa besar kepada Perdana Menteri


shadow

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah mengembalikan amalan tadbir urus yang memusatkan kuasa apabila menaikkan pemberian dana kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM 11.69 bilion (iaitu perbelanjaan mengurus berjumlah RM 4.47 dan perbelanjaan pembangunan mencatatkan RM 7.2 bilion).

Peruntukan JPM ini lebih tinggi daripada 2019. Peningkatannya sebanyak RM 4.3 bilion atau 36.7 peratus berbanding Belanjawan 2019 sewaktu Pakatan Harapan (Jadual 1)

Berdasarkan Jadual 1, kerajaan Pakatan Harapan menerusi Belanjawan 2020 memperuntukan sebanyak RM 7.9 bilion bagi JPM. Tetapi, selepas berlaku Langkah Sheraton dan peralihan kerajaan kepada Perikatan Nasional pada 9 Mac 2020, perbelanjaan JPM telah bertambah kepada RM 10.62 bilion, peningkatan sebanyak RM 2.7 bilion atau 25.6 peratus.

Pada 17 Ogos 2020, parlimen telah meluluskan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang telah menambah dana JPM sebanyak RM 310,621,700.

Ini bermaksud, Belanjawan 2021 mengembalikan semula amalan pentadbiran lama pada zaman Barisan Nasional (BN) apabila mengembalikan pemusatan kuasa kepada JPM demi memperluaskan kuasa Perdana Menteri tanpa semak dan imbang, seperti mana yang berlaku pada zaman Barisan Nasional dibawah Najib Razak yang mempunyai kuasa yang luas sehingga berlakunya ketirisan seperti skandal 1MDB.

Merujuk kepada Rajah 1, selepas tahun 2018, terdapat penurunan signifikan dalam dana JPM. Tahun 2019 dan 2020 memperlihatkan jumlah dana JPM antara terendah sejak 2010.

Dasar penstrukturan JPM ini dibuat pada tahun 2018 adalah untuk memastikan tadbir urus negara efektif dan memberi kuasa dan kewangan yang seimbang kepada kementeriankementerian lain. Namun, prinsip ini telah berubah dalam Belanjawan 2021 apabila jumlah dana JPM meningkat dengan signifikan.

Peruntukan JPM telah dikurangkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018. Daripada peruntukan JPM sebanyak RM 17.42 bilion dalam Belanjawan 2018 di bawah kerajaan Barisan Nasional, kerajaan Pakatan Harapan berjaya membuat penstrukturan JPM dan mengurangkan peruntukan JPM kepada RM 7.53 bilion (rujuk anggaran asal 2018), iaitu penjimatan sebanyak RM 9.89 bilion atau 56 peratus. (Rajah 1)

Penstrukturan ini melibatkan proses memindahkan agensi dibawah JPM kepada kementerian lain seperti pemindahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke Kementerian Pengangkutan. Langkah pemindahan agensi JPM ini adalah untuk memperkasakan kementerian-kementerian sedia ada dan kuasa membuat keputusan tidak berpusat kepada Perdana Menteri dan JPM sahaja.

Peruntukan pembangunan bagi JPM di bawah Belanjawan 2021 didapati meningkat kepada RM 7.2 bilion atau 10.61 peratus daripada peruntukan pembangunan Belanjawan 2021 iaitu RM 71 bilion, lebih tinggi berbanding peruntukan pembangunan JPM dalam Belanjawan 2020 iaitu RM 3.85 bilion atau 6.63 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan belanjawan tersebut. (Jadual 2)

Dana bagi pembangunan JPM yang meningkat secara signifikan seharusnya diberikan kepada kementerian-kementerian yang memerlukan pada saat yang penting ini. Terdapat beberapa peruntukan pembangunan kementerian yang dipotong dalam Belanjawan 2021 seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pelancongan, Budaya dan Warisan (MOTAC). (Jadual 3 dan Rajah 2)

Peruntukan pembangunan KBS telah dipotong kepada RM 326.4 juta dalam Belanjawan 2021 jika dibandingkan dengan peruntukan Belanjawan 2020 dan 2019, iaitu masing-masing sebanyak RM 484 juta dan RM 366.6 juta.

Begitu juga dengan MOTAC yang menerima penurunan peruntukan pembangunan kepada RM 153. 8 juta dalam Belanjawan 2021 jika dibandingkan dengan RM 187.9 juta dalam Belanjawan 2020, iaitu pemotongan sebanyak RM 34.1 juta atau 18 peratus.

Penambahan dana bagi kementerian seperti ini sekurangkurangnya dapat menjana ekonomi dan bantuan kepada golongan sasar seperti syarikat pelancongan dan belia tempatan yang hilang pekerjaan dan pendapatan ketika Covid-19.

Peruntukan kepada institusi parlimen juga tidak meningkat secara signifikan dalam Belanjawan 2021. Dalam Belanjawan 2020, peruntukan parlimen dinaikkan kepada RM 145.1 juta berbanding RM 137.4 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM 7.7 juta atau 5.3 peratus.

Peningkatan ini berlaku kerana peranan parlimen perlukan penambahbaikkan, khususnya apabila 11 buah Jawatankuasa Pilihan Khas (Select Committee) ditubuhkan untuk menyemak dasar kerajaan.

Malangnya, peruntukan parlimen hanya meningkat sebanyak RM 163,000 atau 0.1 peratus kepada RM 145, 353,000 dalam Belanjawan 2021. Ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mempunyai iltizam dan komitmen dalam menambah baik sistem parlimen Malaysia yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah ekonomi dan negara berhadapan krisis Covid-19.

RUMUSAN

Peruntukan besar kepada JPM akan menggugat usaha untuk melakukan reformasi institusi seperti parlimen. Ia juga memperlihatkan sisi kerajaan PN yang mengutamakan agenda pengukuhan kuasa Perdana Menteri berbanding menyelamatkan ekonomi rakyat dan mempertahankan institusi demokrasi.

Secara mudahnya, Belanjawan 2021 mengembalikan pentadbiran “order lama” Barisan Nasional dan merupakan langkah regresif kepada sistem demokrasi negara.

Peruntukan ini perlu diperhalusi dan diteliti oleh ahli parlimen supaya dana ini dapat diagihkan kepada kementerian yang terkesan dan memerlukan dana bagi merangsang program meningkatkan ekonomi, khususnya dalam mencipta kemahiran dan pekerjaan.

Antara dana perlu diteliti semula dalam peruntukan JPM ialah:

1. Butiran Projek (93500) “Projek Khas” yang telah dinaikkan kepada RM 1 bilion jika dibandingkan peruntukan sebanyak RM 100 juta pada tahun 2020.

2. Butiran Projek (00108) “Program Pembangunan” yang telah dinaikkan empat kali ganda, iaitu hampir RM 500 juta pada Belanjawan 2021 berbanding RM 159.7 juta pada tahun 2020.

Butiran-butiran ini juga perlu diperjelaskan oleh Perdana Menteri kepada parlimen secara terbuka tentang tujuan dan keperluan mempunyai dana yang begitu besar dan tidak diletakkan butiran secara spesifik.

Tinggalkan komen anda