Belanjawan 2021: Naikkan bantuan, lanjut moratorium


shadow

DAP hari ini menyenaraikan tiga syor kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021 yang boleh dilaksanakan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam rakaman video yang disiapkan di laman Facebooknya berkata, belanjawan kali ini sepatutnya boleh menyatupadukan rakyat bagi menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan.

“Naikkan bantuan kebajikan kepada rakyat yang memerlukannya daripada RM200 kepada RM300 sebulan sekarang kepada RM1,000 sebulan.

“Lanjutkan moratorium pinjaman bank untuk 6 bulan lagi (30 September – 31 Mac 2021),” katanya.

Guan Eng berkata, perkara ini pernah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun ia tidak dilaksanakan.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, lanjutan itu mampu membantu lapan juta rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini untuk terus kekal dalam ekonomi negara.

DAP juga mahu kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan dengan memberi insentif gaji sebanyak RM500 kepada setiap pekerja Malaysia.

Malah parti itu juga menuntut agar bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan.

“Ketiga-tiga syor ini boleh membantu rakyat Malaysia dengan peruntukan RM31.4 bilion iaitu 10 peratus daripada keseluruhan Program Kita Prihatin sebanyak RM305 bilion,” katanya.

Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini di Dewan Rakyat ketika negara berdepan gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19.

Ia akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Belanjawan 2021 dijangka lebih menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda