GST rampas kembali Bantuan Prihatin Rakyat


shadow

Kerajaan digesa untuk melupakan hasrat memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, impak GST akan terus menekan kuasa beli rakyat yang sudah sedia terjejas teruk walaupun jika dilaksanakan semula selepas ekonomi pulih tahun hadapan.

“Biarlah rakyat kembali stabil dari aspek kos sara hidup dan mengukuhkan kembali simpanan mereka untuk beberapa tahun akan datang.

“Jangan pula tangan kanan memberi Bantuan Prihatin Rakyat, tapi tangan kiri merampas kembali wang tersebut dalam bentuk GST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research memaklumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula cukai GST.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, terdapat cara lain boleh dilaksanakan untuk mengukuhkan aliran tunai negara, yang antaranya termasuklah pengenalan cukai Capital Gains Tax (CGT) atau cukai keuntungan modal.

Menurutnya, CGT boleh dilaksanakan secara tingkat (tier) atas transaksi saham di pasaran modal Malaysia.

“Misalnya, kadar CGT bagi keuntungan melebihi RM100,000 daripada penjualan saham, dikenakan lebih tinggi berbanding kadar cukai untuk keuntungan di antara RM50,000 dan RM100,000.

“Pada masa yang sama, cukai CGT atas keuntungan di bawah RM50,000 boleh dikecualikan supaya ia dapat menggalakkan lebih ramai pelabur runcit baharu berjinak dalam dunia pelaburan.

“Cukai CGT secara peringkat dan juga berdasarkan tempoh pegangan aset akan memastikan hanya individu yang menjana keuntungan atas modal yang tinggi melebihi paras tertentu dikenakan cukai.

“Ia seterusnya dapat menjaga kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pendek kata, cukai ini hanya dikenakan kepada golongan kaya,” jelasnya lagi.-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda