Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 meningkat bukti PH tunai janji manifesto


shadow

Laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan peningkatan hasil kerajaan Persekutuan pada tahun lalu, membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji manifesto untuk memulihkan ekonomi negara.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, rekod tersebut sekaligus menafikan kritikan dan tohmahan beberapa pihak terutama Barisan Nasional (BN) terhadap penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya, strategi PH untuk mengurangkan impak cukai terhadap rakyat berpendapatan rendah dan perniagaan berskala kecil jelas berkesan, selain berjaya mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai.

“Prestasi baik ini mampu dicapai walaupun cukai GST dihapuskan dan cukai korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, menurut kenyataan Ketua Audit Negara, hasil kerajaan Persekutuan pada 2019 berjumlah RM264.415 bilion, meningkat sejumlah RM31.532 bilion atau 13.5 peratus berbanding tahun 2018.

Menurut penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan, perbelanjaan mengurus yang diluluskan pada tahun lepas berjumlah RM260.547 bilion manakala perbelanjaan sebenar berjumlah RM263.343 bilion.

Sementara itu Faiz berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga menunjukkan keutuhan signifikan pada kadar 4.3 peratus pada 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap.

“Di samping itu, langkah kerajaan PH mengkaji semula 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus dan tender terhad oleh BN, memberi penjimatan sehingga RM805.9 juta.

“Kemampuan PH meningkatkan hasil negara melalui dasar-dasar ini seharusnya dipandang tinggi oleh rakyat negara ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Justeru kata Faiz, peluang harus diberikan semula kepada PH untuk mentadbir negara ini supaya agenda ekonomi yang tuntas dapat diteruskan untuk memulihkan ekonomi negara terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Jelasnya juga, kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal untuk menguruskan ekonomi negara dengan mampan apabila MIDF melaporkan setakat akhir Oktober 2020 sahaja, aliran keluar bersih dana asing melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.14 bilion bagi tahun 2019.-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda