Jangan heret institusi Raja dalam politik


shadow

Anggota Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menasihati semua ahli politik supaya tidak mengheret institusi raja dalam kancah politik.

Bekas menteri pertahanan itu turut memberi amaran keadaan negara akan memburuk seperti yang dialami Thailand sekiranya perkara itu berlaku.

Mohamad berkata demikian pada sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Sebarang pertelingkahan ahli politik janganlah kita mengheret institusi Raja-Raja Melayu kerana ia akan bahaya pada generasi yang akan datang.

“Kita lihat Thailand misalnya, raja itu seperti wakil dewa yang dijelmakan di muka bumi dan cara mereka hadap begitu tertib dan rendah diri. Namun akhirnya berlaku (protes) baju merah dan baju kuning yang dikatakan ini pro (penyokong) perdana menteri dan ini pro istana,” katanya hari ini.

Sejak pertengahan Julai lalu, Thailand mengalami kegawatan selepas sebahagian rakyat yang antikerajaan mula melakukan protes.

Antara tuntutan penunjuk perasaan adalah menggesa pembubaran parlimen, gangguan terhadap pengkritik kerajaan dihentikan serta pindaan perlembagaan.

Sementara itu, Mohamad turut berharap rakyat Malaysia, khususnya ahli politik kekal menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara.

“Kita tidak mahu Malaysia mengikuti jejak Thailand itu. Kita wajar menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara,” katanya.

Untuk rekod, pada 28 Okt lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah “menasihati” ahli parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021.

Ini selepas baginda menolak permintaan kabinet untuk pengisytiharan darurat yang boleh digunakan untuk menggantung parlimen.-Mkini

Tinggalkan komen anda