Jangan letak bentara di depan pintu, Speaker tak ada hak halang MP masuk Dewan


shadow

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sama sekali tidak mempunyai kuasa menyekat dan menghadkan jumlah kehadiran ahli-ahli Parlimen di dalam dewan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menegaskan, Azhar tidak seharusnya berfikir bahawa beliau mempunyai kuasa untuk menghadkan bilangan Ahli Parlimen memasuki Dewan.

Apatah lagi katanya, fungsi dan peranan utama jawatan sebagai Yang Dipertua hanyalah bertindak sebagai Pengerusi yang mengetuai mesyuarat dalam perbahasan Parlimen dan mentafsirkan Peraturan Mesyuarat apabila diperlukan.

“Peraturan Mesyuarat merupakan peraturan tatacara yang diluluskan oleh Ahli Parlimen sendiri di bawah Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kesannya, Yang di-Pertua tidak mempunyai kuasa sedia ada untuk bertindak secara bebas di luar Peraturan Mesyuarat.

“Oleh sebab itu, Yang Dipertua tidak mempunyai kuasa untuk mengehadkan bilangan ahli Parlimen daripada memasuki Dewan atau menghalang mereka daripada mengambil bahagian dalam persidangan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta Azhar menarik balik ketetapan yang membenarkan hanya 80 ahli Parlimen sahaja boleh masuk menyertai sidang Dewan dalam satu-satu masa.

Bagaimanapun Azhar berkata, tiada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Speaker perlu mendengar perbahasan dari kesemua 222 ahli Parlimen.

Bahkan katanya, syarat bersidang hanya perlu memenuhi korum sebanyak 26 ahli Parlimen, malah tidak semua ahli Parlimen akan berada di dalam Dewan dari jam 10 pagi sehingga 5 petang.

“Di manakah terdapatnya di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa pada setiap masa saya perlu mendengar 222 orang ahli Parlimen dalam Dewan?

“Korumnya 26 orang (mengikut) peraturan mesyuarat. Itu korumnya dan kita ada 80 orang,” katanya ketika menjawab soalan Hassan.

Azhar juga memaklumkan bahawa keputusan menghadkan jumlah ahli Parlimen telah dibuat atas konsensus Whip parti politik masing-masing.

Sementara itu William berkata, kepentingan hak ahli Parlimen untuk menghadiri persidangan Parlimen jelas ditunjukkan dalam Usul Dewan pada pembukaan sidang Parlimen setiap tahun, dengan memberi arahan kepada Ketua Polis Negara untuk memastikan ahli Parlimen tidak dihalang menghadiri persidangan.

Justeru, beliau meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menempatkan bentara di depan pintu masuk Dewan untuk menghalang ahli Parlimen daripada memasuki tanpa pas masuk.

“Jika Yang Dipertua berbuat sedemikian, ini akan menjadi satu hakisan dan ancaman terhadap prinsip asas demokrasi berperlembagaan,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda