Kemerosotan pelaburan tetap mungkin jejas Malaysia, kata pakar ekonomi


shadow

Pakar ekonomi bimbang dengan kejatuhan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar atau pelaburan tetap Malaysia, yang menurut mereka ialah petunjuk utama kesihatan ekonomi jangka panjang.

Geoffrey Williams dari Universiti HELP berkata, pengurangan pelaburan tetap menjejaskan pertumbuhan ekonomi berpotensi dan boleh menghalang kemampuan negara untuk beralih kepada ekonomi lebih maju dengan Revolusi Industri 4.0.

Beliau memberitahu FMT, kemerosotan itu turut merosakkan daya saing Malaysia kerana negara lain di rantau Asia tidak mengalami fenomena sama.

“Pembentukan modal tetap kasar merujuk kepada pelaburan fizikal dalam mesin, kenderaan dan peralatan yang digunakan syarikat untuk menjalankan perniagaan mereka. Pelaburan tetap ialah jentera pertumbuhan serta cara utama untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi baru.

“Disebabkan negara Asia lain tidak terjejas dengan kemerosotan ini, Malaysia mungkin mengalami kerugian dalam perkongsian pasaran antarabangsa. Ini akan menghalang pekerjaan baru diwujudkan dan sangat sukar untuk mengubahnya,” beliau memberi amaran.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan berkata, pembentukan modal tetap kasar Malaysia merosot 11.6% pada suku ke-3 tahun ini, meskipun angka itu ialah peningkatan daripada penurunan 28.9% pada suku ke-2.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin bimbang kemerosotan itu akan menjejaskan output masa depan negara kerana trend penurunan bermula pada suku pertama 2019.

Seorang lagi pakar ekonomi, Paolo Casadio berkata, pelaburan tetap ialah ukuran baik untuk kekuatan asas ekonomi Malaysia, tetapi ia sangat sensitif kepada ketidakstabilan ekonomi dan politik.

“Pelaburan tetap adalah kos besar bagi syarikat dan pembayaran balik hanya berlaku dalam beberapa tahun, jadi jika syarikat tidak pasti dengan masa depan, mereka akan mengurangkan pelaburan tetap ketika ini.

“Statistik menunjukkan kita mempunyai pelaburan tetap negatif selama 7 suku tahunan secara berturut-turut, jadi ini ialah masalah yang berlaku sebelum sekatan pergerakan Covid-19,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ketidaktentuan permintaan ialah faktor yang menghalang syarikat daripada melabur dan cara paling mudah untuk menanganinya ialah menyokong penggunaan domestik secara langsung.

Hui Hon Chung yang juga dari Universiti HELP berkata, Malaysia memerlukan dasar yang menyokong jenis pelaburan lebih penting, seperti syarikat permulaan inovatif yang mempunyai potensi lebih tinggi untuk pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan.

Beliau berkata, mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan membina keyakinan dalam kestabilan ekonomi negara ialah 2 cara penting untuk menarik pelaburan asing.

“Baru-baru ini, bukan saja FDI (pelaburan langsung asing) kita lemah, tetapi indeks keyakinan perniagaan juga menunjukkan aliran menurun sejak 2018.”

Tinggalkan komen anda