Kenyataan Zafrul tak dapat bayar gaji jika belanjawan gagal berbaur ugutan, kata Anwar


shadow

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim membidas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang Putrajaya tidak dapat membayar gaji penjawat awam dan petugas barisan depan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Parlimen berbaur ugutan.

Katanya, kenyataan hambar itu juga cubaan untuk mengetepikan suara majoriti ahli Parlimen.

Beliau yakin kerajaan mampu melakukan pindaan lebih baik ke atas Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 Nov lalu demi kepentingan rakyat.

“Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan depan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zafrul dilaporkan berkata, kerajaan tidak dapat memenuhi segala komitmen, termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan depan, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan usaha membantu rakyat serta pemulihan perniagaan dan ekonomi negara itu akan diluluskan.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk ia tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat),” katanya semalam.

Pada 6 Nov lalu, Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM322.5 bilion.-FMT

Tinggalkan komen anda