Kes cerai naik 12%, perkahwinan turun 1.2% tahun lalu


shadow

 Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan jumlah kes perceraian di negara ini meningkat 12% tahun lalu, sementara kadar perkahwinan menurun 1.2%.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, terdapat 56,975 perceraian tahun lalu berbanding 50,862 pada 2018, sementara perkahwinan menurun kepada 203,821 pada 2019 berbanding 206,352 pada tahun sebelumnya.

“Kadar perceraian am bagi lelaki menunjukkan peningkatan daripada 6.5% kepada 7.2% bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin.

“Trend sama juga direkodkan bagi perempuan, meningkat daripada 7% kepada 7.7% bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang berkahwin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kadar perceraian membabitkan orang Islam pula meningkat 13% daripada 40,269 kepada 45,502, sementara yang bukan Islam meningkat 8.3% daripada 10,593 kepada 11,473.

Sementara itu, terdapat penurunan 1.5% dalam perkahwinan orang Islam dan 0.5% bagi bukan Islam, dengan daerah Petaling di Selangor mencatatkan jumlah perkahwinan tertinggi.

Uzir berkata, terdapat 11% perkahwinan antara pasangan pelbagai kumpulan etnik (perkahwinan campur) pada tahun lalu, meningkat daripada 9% pada 2018.

“Sementara itu, 0.3% lelaki berumur 65 tahun dan ke atas mengahwini perempuan lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.

“Manakala 0.2% pengantin perempuan berumur 65 tahun dan ke atas berkahwin dengan lelaki dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.”

Katanya, umur penengah bagi pengantin lelaki kekal 28 tahun, sementara pengantin perempuan meningkat daripada 26 kepada 27 tahun.

Beliau berkata, mereka yang berpendidikan tinggi dan berusaha mengukuhkan kestabilan ekonomi individu, terutama yang tinggal di kawasan bandar lebih cenderung berkahwin lewat.

Tinggalkan komen anda