Mana Gabenor Bank Negara dan CEO KWSP nak letak muka, tanya MT Umno


shadow

Selepas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Zafrul Abdul Aziz memenuhi dua tuntutan utama dalam Belanjawan 2021, pemimpin Umno meletakkan kesalahan kepada Gabenor Bank Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang didakwa mereka sebagai penghalang ia dilaksanakan sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, kedua-dua mereka, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Tunku Alizakri Alias patut meletakkan jawatan tanpa syarat.

Beliau juga memberikan kredit kepada bekas Perdana Menteri yang telah didapati bersalah di mahkamah kerana mempelopori “sokong tanpa syarat” terhadap Belanjawan itu.

Puad juga bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

“Mana Gabenor Bank Negara dan CEO KWSP nak letak muka. Mereka ini penghalang kuat dua permintaan rakyat itu.

“Eloklah berhenti tanpa syarat,” tulis Puad, bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda yang akan dihidupkan semula oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas timbalan menteri itu mendakwa, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah umpama telor di hujung tanduk sebelum pengundian belanjawan kelmarin.

Sebelum ia dijatuhkan, barulah kerajaan PN bersetuju memenuhi pelbagai tuntutan untuk mengekalkan kerajaan yang ada.

“Mula mula telor di hujung tanduk. Bila nyaris ditanduk barulah Kerajaan setuju memenuhi dua tuntutan besar rakyat yang diperjuangkan oleh BN di Parlimen. Kredit kepada Najib kerana mempelopori sokong tanpa syarat,” tulis beliau.

Tinggalkan komen anda