Nufam: Bekas kru kabin memang mampu bantu petugas Covid-19


shadow

Ketika barisan depan masih bergelut melawan Covid-19 sekarang, bekas kru syarikat penerbangan – yang kini menganggur selepas diberhentikan – menawarkan bantuan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin berkata bekas kru penerbangan yang tidak bekerja sedia membantu pegawai kesihatan memerangi Covid-19.

Katanya setiap kru penerbangan memang sudah menjalani kursus wajib kecemasan dan pertolongan cemas sebelum mereka diambil menjadi pramugari atau pramugara.

Menurut Ismail langkah itu boleh membantu kru penerbangan yang kehilangan kerja akibat kelembapan ekonomi sekarang dan pada masa sama petugas barisan hadapan dilihat memerlukan bantuan.

“Kru penerbangan memang diwajibkan syarikat penerbangan untuk menjalani latihan kecemasan dan beberapa latihan pertolongan cemas.

“Jadi kami buat cadangan tersebut kerana apa yang kita tahu mereka perlukan petugas barisan hadapan yang ada pengalaman,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Sebelum ini, cadangan itu turut dinyatakan bekas menteri pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

“Untuk kru penerbangan umpamanya, kerajaan boleh memberikan keutamaan kepada mereka dalam pengambilan pekerja kontrak dalam inisiatif MyStep yang menawarkan 35,000 peluang pekerjaan sementara seperti jururawat dan petugas perubatan.

“Mereka yang bekerja sebagai kru kabin sebenarnya sangat terlatih dalam latihan kecemasan dan latihan kit pertolongan cemas dan sudah tentunya boleh ditempatkan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” kata Loke semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 17 Nov lalu.

Ismail menambah, rancangan kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk memberikan latihan buat kru penerbangan itu tidak memberi penyelesaian menyeluruh.

“Latihan seperti ini tiada input, tiada penyelesaian jelas kepada kru penerbangan yang dibuang kerja.

“Lebih baik, kru penerbangan diberi peluang untuk membantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk menangani Covid-19,” katanya lagi.

Untuk rekod, awal bulan ini, Malindo Air memberhentikan 2,647 pekerja kerana masalah kewangan yang disebabkan wabak Covid-19 manakala AirAsia memberhentikan sekitar 2,400 pekerja.

Justeru Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memperuntukan dana RM50 juta untuk melatih semula dan menyediakan penempatan pekerjaan untuk 8,000 kakitangan syarikat penerbangan.-Mkini

Tinggalkan komen anda