Pakai gelang ‘pink’ hanya tambah stigma terhadap pekerja asing, kata aktivis


shadow

Idea bahawa pekerja asing perlu memakai gelang merah jambu untuk mengenal pasti diri mereka berikutan lonjakan kes Covid-19 dalam komuniti itu hanya akan mencetuskan stigma, kata beberapa pemegang taruh.

Menggesa kerajaan supaya tidak “bertindak balas berlebihan” atau mewujudkan “suasana xenofobik”, penyelaras Migrant Care Malaysia Alex Ong berkata, Covid-19 tidak membezakan antara pendatang asing atau rakyat Malaysia.

“Tidak baik wujudkan stigma terhadap pekerja asing dengan tindakan dwi-standard ini,” kata aktivis hak pekerja asing itu kepada FMT.

“Tengok pada kekurangan pekerja di sektor pembinaan, pembuatan, perladangan dan pertanian. Kita dapat lihat Malaysia memerlukan mereka (pekerja asing).

“Kalau anda mahu letak stigma pada mereka sebagai berpotensi bawa jangkitan, ia mesti dilakukan kepada semua, termasuk pekerja Malaysia juga,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya sedang menimbangkansama ada pekerja asing perlu memakai gelang untuk mengenal pasti mereka dalam khalayak memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang berkait dengan mereka.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, pekerja asing sudah berdepan “semua jenis stigma”, dan langkah pemakaian gelang akan “terus menolak mereka ke tepi (dengan stigma).”

“Ia akan berbalik semula kepada kita,” aktivis itu memberi amaran. “Mari kita gunakan 1 protokol untuk semua.”

Pakar sistem dan dasar kesihatan, Dr Khor Swee Kheng berkata, kerajaan mesti menjelaskan terperinci mengenai keputusan berhubung pemakaian gelang kepada pekerja asing.

Katanya, Ismail bertanggungjawab menjelaskan secara khusus bagaimana langkah itu akan meningkatkan kesihatan awam, bukannya “semata-mata menegaskan” bahawa ia akan meningkatkan kesihatan awam.

“Pemakaian gelang lebih mencetuskan stigma terhadap pekerja asing dan tidak efektif, sekali gus mewujudkan perasaan selamat yang palsu,” kata Khor.

“Ini juga akan mengalih perhatian masyarakat daripada penambahbaikan yang diperlukan dalam kesihatan awam, seperti perumahan, ujian dan insurans kesihatan untuk pekerja asing.”

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga kurang yakin berhubung keputusan itu dengan berkata, memaksa pekerja asing memakai gelang tangan “bukanlah solusi”.

“Ia nampak seperti diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia,” kata timbalan presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani.

“Sebaliknya, kerajaan perlu memaksa semua majikan menguji pekerja asing mereka, terutama di zon merah, kerana ia boleh mencegah penyebaran Covid-19.”

Kluster tapak pembinaan Damanlela di Kuala Lumpur dan Selangor kini merupakan kluster aktif ke-2 terbesar dengan 1,346 kes, dengan hanya kluster penjara Tembok di Kedah dan Perak yang mempunyai lebih banyak kes (1,972).

Sementara itu, kluster Teratai di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan kes positif dalam kalangan pekerja kilang Top Glove, mencatatkan 18 kes baru semalam, iaitu lonjakan ke-2 tertinggi dalam kluster aktif terbabit.

Kluster Teratai kini merekodkan 388 kes baru.-FMT

Tinggalkan komen anda