Pawagam cari jalan lain jana pendapatan


shadow

 Walaupun semua pawagam menghentikan operasi buat sementara waktu, rangkaian pawagam Gold Screen dan TGV berkata ia akan mencari jalan lain untuk menjana pendapatan dengan menggunakan kemudahan sedia ada.

Pengurus Penjenamaan Golden Screen Sharmine Ishak berkata, syarikat itu mungkin membuka kafe di lokasi tertentu dan menawarkan penggunaan dewan pawagam untuk penganjuran acara.

“Kami memperluaskan kepada gaya hidup lain seperti ‘stand-up’ komedi dan menawarkan peluang kepada penonton filem untuk menempah pawagam kami bagi penganjuran acara.

“Kami juga menjadikan kawasan lobi sebagai ruang kerja bersama. Antara lain penjualan cendera hati dalam dan luar talian,” katanya kepada FMT.

Pengarah Urusan Jualan dan Pemasaran TGV Mohit Bhargava berkata, syarikat itu menyaksikan penurunan ketara penonton sebanyak 90% sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada Mac.

Ia bercadang menjana pendapatan melalui penghantaran bertih jagung dan penjualan cendera hati, kad hadiah dan baucar, katanya. “Sukar untuk menjangkakan ketika ini berapa lama pawagam akan ditutup tetapi kami akan memantau keadaan dan bertindak apabila pasaran bertambah baik.”

Persatuan pempamer filem baru-baru ini mengumumkan semua pawagam akan ditutup mulai November berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di beberapa negeri, di mana pawagam dikehendaki ditutup selain kekurangan filem baru untuk ditayang.

Walaupun kerajaan persekutuan memperuntukkan RM225 juta kepada industri kreatif bawah pelan pemulihan ekonomi, tiada sebarang dana diperuntukkan kepada pawagam, kata Sharmine.

Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan skim subsidi pawagam dan menyediakan geran untuk tayangan filem yang dihasilkan pengeluar filem tempatan.

Mohit berkata, pempamer filem bersetuju mengadakan mesyuarat bulanan untuk menilai keadaan berdasarkan 2 faktor, keluaran filem tempatan dan Hollywood baharu serta penamatan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, TGV tetap optimis mengenai filem “blockbusters” Hollywood yang dikeluarkan pada 2021 atau 2022. Dalam jangka masa pendek kebanyakan filem berasal daripada industri tempatan atau Asia.

Katanya, pasaran filem di China dan Jepun menunjukkan tanda positif dalam proses pemulihan susulan krisis Covid-19, dengan jumlah “box office” lebih tinggi dari tahun lalu.-FMT

Tinggalkan komen anda