Pejuang nasihatkan Peguam Negara tarik diri dari mewakili kerajaan di mahkamah


shadow

Peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menasihatkan agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengundurkan diri (recuse himself) daripada mewakili kerajaan Malaysia berhubung saman pemula terhadap kerajaan selepas gagal mengisytihar darurat.

Saman pemula tersebut difailkan peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Pejuang berpendapat, Idrus tidak mungkin dapat mempertahankan dirinya apabila beliau sendiri adalah pihak terpenting yang menasihati Muhyiddin dan Yang di-Pertuan Agong berhubung proklamasi berkenaan.

“Sekiranya tindakan guaman itu diteruskan dan tidak dibatalkan pada peringkat preliminari, ia akan meletakkan kedudukan Tan Sri Peguam Negara dalam konflik berkepentingan (conflict of interest).

“Bagaimana mungkin Peguam Negara yang menasihati Kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, pada masa yang sama dikehendaki pula mempertahankan tindakan ini di Mahkamah.

“Perlu diingatkan betapa pentingnya Peguam Negara memahami ruang lingkup tugasannya adalah termasuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya,” katanya.

Tambah Pejuang, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana peguam yang berkelayakan dan tidak mempunyai konflik berkepentingan untuk mewakili kerajaan Malaysia sebagai responden selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359).

Peguam Pejuang juga menegaskan bahawa isu tersebut dibangkitkan demi melindungi kehormatan Perlembagaan Persekutuan daripada dicabuli mahupun disalah erti oleh mana-mana pihak.

Pada masa sama, Peguam Pejuang menjelaskan, Proklamasi Darurat termaktub di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan terletak di bawah Bab XI “Kuasa khas menentang perbuatan subversif, keganasan terancang, dan perbuatan dan jenayah yang memudaratkan orang awam dan kuasa darurat”.

Justeru katanya, penggunaan frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” yang terkandung dalam Perkara 150(1), membawa maksud kuasa prerogatif atau budi bicara dimiliki oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas menerima nasihat dari Perdana Menteri.

“Melihat kepada peruntukan tersebut secara spesifik, Baginda Yang di-Pertuan Agong berhak untuk tidak mengikuti nasihat di bawah perkara darurat ini dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya lagi-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda