Pekerja dibuang, bakal hilang pekerjaan boleh dapat elaun 6 bulan, kata menteri


shadow

Masalah pembuangan pekerja oleh pihak majikan atau syarikat merupakan fenomena global dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempias dan kesannya akibat penularan pendemik Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Katanya, kementeriannya cukup memahami dan prihatin dengan permasalahan dihadapi pekerja yang diberhentikan kerja di negara kita.

Sehubungan itu, katanya kementerian menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedia membantu mereka yang dibuang kerja serta-merta dan berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), sehingga 6 bulan tertakluk kepada syarat kelayakan caruman.

Bayaran elaun akan dibuat antara 80% hingga 30% daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000 sebulan.

“Sebagai contohnya, dalam isu Malindo Airways, sehingga 15 November 2020, seramai 1,086 pekerja Malindo Airways sudah pun mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan faedah SIP.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 749 penerima faedah menerima bantuan SIP berjumlah 928 ribu ringgit. Baki pemohon masih dalam proses tindakan Perkeso,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH- Bukit Gelugor) yang meminta menteri sumber manusia menyatakan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi membantu pekerja-pekerja yang secara rata-ratanya diberhentikan kerja (retrenched) seperti mana  dilaporkan secara meluas dalam media baru-baru ini.

Bayaran elaun akan dibuat antara 80% hingga 30% daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata SIP juga menyediakan bantuan lain seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan.

Pada masa sama, beliau berkata pekerja yang diberhentikan kerja, mereka boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Dalam kes Malindo Airways, seramai 96 orang bekas pekerja berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan baru melalui portal ini. Proses untuk membuat pemadanan dan carian pekerjaan untuk bekas pekerja Malindo Airways sedang giat diteruskan.”

Katanya kementerian juga, melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mempunyai pelbagai inisiatif di bawah Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja melalui PSMB melaksanakan skim Place & Train di bawah Inisiatif Penjana HRDF.

“Kementerian tidak memandang ringan berhubung aspek penempatan pelatih dalam pekerjaan yang dijanjikan. Pengesanan di peringkat awal telah turut dilakukan oleh Kementerian sejurus pelatih tersebut menamatkan latihan.”-MalaysiaNow

Tinggalkan komen anda