Perbicaraan Najib kes 1MDB dana RM2.28 bilion ditangguh kerana PKPB


shadow

Perbicaraan rasuah 1MDB berhubung dana RM2.28 bilion yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak telah dibatalkan minggu ini susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan perkara ini ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

“Ya, dibatalkan,” katanya sebagai menjawab soalan apakah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengosongkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada hari ini hingga hari Khamis minggu ini susulan PKPB di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang dilanjutkan hingga awal Disember.

Mengenai apakah mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan baru untuk bulan Disember tahun ini, dia mengatakan bahawa setakat ini belum lagi ditetapkan.

Kerajaan melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya hingga 6 Disember.

Najib kini sedang dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.-Mkini

Tinggalkan komen anda