‘Pesara GLC terpinggir, ada dapat pencen RM180 sebulan’ – Kesatuan sekerja


shadow

Putrajaya perlu mengkaji semula kadar pencen pesara-pesara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), gesa sebuah kesatuan pekerja.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), berkata kumpulan ini sudah lama terpinggir dalam belanjawan tahunan kerajaan.

Jelasnya, pesara-pesara inilah suatu masa dahulu yang mendokong dasar penswastaan di Malaysia.

Bagaimanapun, UNI-MLC mendakwa pesara-pesara dari syarikat GLC tetap terpinggir dengan ada yang menerima pencen serendah RM180.00 sebulan.

“Pesara-pesara syarikat GLC dari Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu, Pos Malaysia Berhad, North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain yang telah diswastakan pada awal tahun 1980an dan 1990an kecewa kerana Belanjawan 2021 tidak mengambil kira tuntutan yang telah dikemukakan oleh mereka,” kata Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie Mammal (gambar, bawah) dalam satu kenyataan hari ini.

“Rata-rata pesara-pesara GLC yang telah bersara ketika itu gaji mereka terlalu rendah/terlalu kecil dan ada di antara mereka perkhidmatan tidak mencukupi 25 tahun dan pencen yang diterima oleh mereka adalah serendah RM180.00 sebulan.

“Jika dilihat dalam keadaan sekarang ini dengan harga dan kos sara hidup yang terlalu tinggi, amat sukar bagi pesara-pesara ini untuk menyara kehidupan, bukan sahaja bagi diri sendiri akan tetapi bagi keluarga juga tidak mencukupi,” tambahnya.

Shafie berkata kesatuan itu yang mewakili semua kesatuan dalam syarikat GLC telah menghantar 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun yang lalu dan mengharapkan tuntutan mereka akan dipenuhi dan diambil kira.

Antara memorandum yang dihantar turut menyentuh isu kadar bayaran pencen rendah untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2021.

“Kami menghantar tuntutan berdasarkan saranan kerajaan bahawasanya tiada golongan yang akan tercicir/ terpinggir dalam Bajet 2021.

“Bagaimanapun Bajet 2021 tidak menyentuh apa-apa perubahan untuk mengatasi kadar bayaran pencen kami,” katanya.

Kerajaan perlu mengkaji semula dan memikirkan apakah cara terbaik bagi membantu kumpulan pesara ini dengan memasukkan tuntutan ini dalam Belanjawan 2021 yang dijangka akan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada minggu depan, tegasnya lagi.

Tinggalkan komen anda